14 September 2010

Ulama kanan Mesir kutuk perbuatan bakar al-Quran

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته KAHERAH 13 Sept. - Seorang ulama kanan Mesir semalam mengutuk sekumpulan penganut Kristian yang mengoyak helaian al-Quran di hadapan White House pada upacara memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001 dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai 'keji'. "Mereka adalah sekumpulan kecil individu yang mempunyai rasa dendam, dibutakan oleh pelampau dan memiliki niat jahat untuk mencemarkan Islam. "Tindakan keji mereka tidak akan menjejaskan kesucian al-Quran," kata Imam Besar, Masjid al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb (gambar) seperti yang dipetik agensi berita MENA ketika mengulas tindakan sekumpulan penganut konservatif Kristian yang membakar helaian al-Quran kelmarin dalam satu bantahan di hadapan White House. Tindakan tersebut dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September, di tengah-tengah ketegangan berikutan ancaman seorang paderi Florida merancang untuk membakar kitab suci Islam itu. Seorang penunjuk perasaan, Randall Terry berkata, kepalsuan yang menyatakan Islam sebagai sebuah agama yang cintakan perdamaian perlu berakhir. Seorang lagi penunjuk perasaan, Andrew Beacham, semasa bantahan itu turut memetik ayat al-Quran yang didakwa menyemarakkan rasa benci terhadap penganut Kristian dan Yahudi, sebelum mengoyakkan helaian naskah kitab tersebut. Sementara itu, penduduk Islam di AS terus melahirkan kekecewaan mereka berhubung tindakan segelintir rakyat negara itu yang masih tidak dapat menerima Islam, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Walaupun penganut Islam AS mengutuk serangan 11 September dan menegaskan mereka juga adalah rakyat AS, tindakan itu dilihat masih belum cukup untuk menghentikan perasaan benci terhadap Islam. "Kami tidak perlu meminta maaf, tiada apa yang kamu perlu takutkan, kami juga tidak perlu rasa malu kerana kami tidak bersalah. "Tetapi kami perlu keluar dan meluahkan perasaan ini," kata imam Mohammed Ibn Faqih daripada Institut Orange County di Anaheim, California, sehari sebelum ulang tahun 11 September. - AFP/AP

08 September 2010

Cara sambut hari raya berpandukan sunnah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Pengertian 'Idul Fitri Kalimah 'Id (Bukan Aid) ialah kalimah bahasa Arab yang bermaksud perayaan atau hari ulang tahun. Fitri pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada Hari Raya tanggal 1 Syawal) umat Iislam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa. Fitri juga bermaksud tabiat semual jadi. Maksudnya orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat Tarawih pada malam-malam Ramdhan, bertadarus al-Quran, Quyamullai, Zikrullah dan berdoa, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini telah meleburkan dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru dilahirkan. Dengan penjelasan tadi maka kita dapat mengambil kesimpulan bahawa 'Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bukan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka septutnya benar-benar menjadi orang yang takwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah s.w.t. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagai diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu dengan puasa itu semoga kamu bertakwa." Pengisian Program 'Idil Fitri 'Idil Fitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang dianjurkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu ada tiga perkara seperti berikut: 1) Membanyakkan Ucapan Takbir Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185) Sabda Rasullullah s.a.w. pula yang bermaksud : "Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan rahmud ." 2) Pembahagian Takbir Takbir Mursal : Sunnat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim mahupun musafir, dimasjid atau dijalan dengan cara duduk atau berdiri, dipasar-pasar, dirumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktu bermula daripada terbenamnya matahari akhit Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat 'Id didirikan pada esok harinya. Demikian juga bagi Takbir 'Id al-Adhan (Hari Raya Qurban) sunnat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat 'Id al-Adhha didirikan. Takbir Muqaiyad : Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunnat dilafazkan pada setiap kali selesai sembahyang. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9 Zulhijjah) dan berakhir selepas solat 'Asar pada 13 Zulhijjah. 3) Menunaikan Zakat Fitrah Walaupun dibolehkan pembayarannya sejak awal Ramadhan, yang afdal ialah pada pagi Hari Raya selepas solat Subuh sebelum solat 'Id didirikan. Inilah menurut hukum asal yang dilakukan pada zaman hayat Rasullullah s.a.w. dan para sahabat serta tabi'in yang lalu. MASA DAHULU Zakat Fitrah pada peringkat awal yang lalu dalam bentuk makanan asasi dan terus disampaikan kepada fakir miskin. Jadi, dalam saat-saat mereka hendak menyambut 'Idil Fitri, hari mulia yang penuh dengan barakah, alangkah gembiranya mereka mendapat habuan makanan itu. Ibnu Abbas r.a. berkata yang bermaksud : " Rasulullah s.a.w. memfardhukan Zakat Tifrah sebagai membersihkan kecacatan ibadah puasa kerana perbuatan yang sia-sia dan mencarut, disamping itu menjadi habuan untuk orang-orang miskin." Pada riwayat yang lain pula, Rasullullah s.a.w. berdabda yang bermaksud : "Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Id, maka zakatnya itu diterima, tetapi yang membayarnya selepas solat 'Id, ia menjadi sedekah biasa." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majjah dan disahkan oleh al-Hakim) MASA KINI Kini dinegara kita, Zakat Fitrah diberikan dalam bentuk wang ringgit sebagai ganti beras. Fakir miskin telah menerima habuan sebelum Hari Raya dengan cara diberikan pendahuluan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Oleh itu, elok Zakat Fitrah dibayar lebih awal atau pada malam Hari Raya, untuk mengelakkan kesibukan tugas amil memungutnya. Sempena 'Idul Fitri selain diwajibkan berfitrah, kita umat Islam yang berkemampuan juga disunnatkan memberi sedekah-sedekah yang lain dengan mengutamakan kaum kerabat kita yang susah, kemudian barulah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim. 4) Menghadiri Upacara Solat 'Id Sekelian Muslimin dan Muslimat, tua dan muda, termasuk wanita-wanita yang haid disunnatkan mengahdiri upacara perhimpunan tahunan tersebut bagi masyarakat Islam setempat. Kehaduiran mereka sebagai menghayati syi'ar keagungan Islam dan perpaduan ummah, disamping itu mereka berpeluang bertakbir membesarkan Allah s.w.t.) beramai-ramai, mendengar khutbah 'Id yang penting, berzikir dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam. Bagi yang tidak uzur berpeluang mendirikan solat 'Id (Hari Raya) Daripada Ummu 'Atuyah r.a. ujurnya : Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan wanita yang haid pada Hari Raya ('Idil Fitri dan 'Idil Adhha), agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum Muslimin tetapi wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Perlu diingatkan, bahawa Hari Raya Puasa kita disunnatkan menjamah makanan atau juadah terlebih dahulu, kemudian pergi ketempat solat, tetapi untuk Hari Raya Haji sunat tidak makan terlebih dahulu, sebaliknya kita bersegera keupacara perhimpunan solat. Solat 'Idil Adhha disegerakan lalu menyembelih binatang qurban, kemudian kita pulang dengan membawa daging qurban, lalu dimasak dan baru makan. Pada pagi-pagi Hari Raya, kita juga disunnatkan mandi dan memakai pakaian yang serba baru atau yang bersih dan indah. Kemudian ketika pergi kemusollah (tempat solat), pergi melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam. Kita sama-sama mengucapkan Salam 'Idil Fitri sambil berbalas-balas senyuman, sama-sama menyatakan rasa syukur ke Hadrat Ilahi atas petunjuk dan pertolongan-Nya sehingga kita berjaya menundukkan nafsu sepanjang bulan Ramadhan. Pada zaman hayat Rasulullah s.a.w. dahulu, solat 'Id diadakan ditanah lapang kerana masjid-masjid pada zaman itu kecil-kecil belaka. Kini solat 'Id diadakan dimasjid atau disurau. Adalah amat elok jika dapat dibuatkan khemah atau ruang khas diluar masjid atau surau untuk memberi peluang para wanita yang uzur (haid) duduk ditempat itu supaya mereka dapat sama-sama menikmati syi'ar 'Idil Fitri atau 'Idil Addha. 5) Amalan-amalan Menjelang Hari Raya Puasa Umat-umat Islam digalakkan melakukan I'tikaf beramai-ramai dimasjid pada malam-malam sepuluh terakhir pada bulan Ramadhan (malam ke-21 hingga malam ke-29 atau ke-30) kerana berharap bertemu malam LAILATIL QADAR atau malam kemuliaan yang mempunyai nilai lebih baik daripada 1000 bulan. Amalan ini dilakukan pada zaman hayat Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat serta abad-abad berikutnya, bahkan hingga kini masih dilakukan begitu bersemarak disesetengah negara Islam khususnya di Masjidil Haram (Makkah), tetapi malangnya dinegara kita kebanyakkan umat Islam menyambut 'Idil Fitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah, yang mana sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam. Sejak awal Ramadhan lagi, mereka lebih tertumpu kepusat membeli-belah, melengkapkan persiapan membeli pakaian, hiasan rumah dan lain-lain lagi. Apabila Hari Raya sudah hampir, kebanyakkan suri rumah lebih tertumpu menyediakan kuih-muih yang pelbagai jenis. Setiap individu Muslim dan Muslimah wajib menilai segala aktiviti yang telah berjalan selama ini, yang sesetengahnya telah menjadi 'budaya' termasuk bentuk acara menyambut 'Idil Fitri. Ciri-ciri yang diambil dari budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan. Kita boleh menyediakan makanan, juadah dan kuih0muih untuk Hari Raya tetapi hendaklah dalam bentuk sederhana. Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan ekonomi keluarga. Acara ziarah- menziarahi prang tua, sandara-mara, kaum kerabat, orang-orang yang berjasa kepada kita seperti para guru dan sabahat handai ini sebenarnya tidak terbatas sempena Hari Raya sahaja, tetapi perlu dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w.yang bermaksud : " Ziarahilah saudara mara kamu dari masa ke masa kerana ia boleh menambahkan kasih sayang." Lebih-lebih lagi menziarahi ibu bapa kita, hendaklah dilakukan labih kerap dan janganlah menunggu Hari Raya sahaja. Amalan meminta maaf juga perlulah dilakukan dengan segera apabila kita terasa telah melakukan kesilapan serta kesalahan pada orang lain. Sumber Maklumat:http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/sambuthariraya.htm

05 September 2010

IKTIKAF 10 AKHIR RAMADAN DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKAN KALANGAN BELIA DI SELATAN THAILAND

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Sebahagian belia yang memaksakan diri mereka supaya terus berada didalam masjid selama 10 hari di akhir ramadan adalah sangat tepat dengan kehendak sunah Rasul SallalLahu alaihi wasallam,mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah suwasta Hadyai Vitayakarn. Lokasi yang mereka beriktikaf ialah Masjid Nahdhatul Ulum, Yala, sebuah masjid didalam kawasan sekolah agama auwasta nombor dua terbesar di kota Yala. Belia yang menyertai program kali ini semua 34 orang.

03 September 2010

Semarakkan Ibadah Puasa 10 Akhir Ramadhan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Menghidupkan malam-malam tersebut dengan beribadah Mengejutkan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah menghidupkan malam-malam tersebut Mengikat tali pinggang (tidak bersama isteri). Diriwayatkan daripada A’ishah r.a. yang bermaksud: “Adalah ibadah Rasulullah s.a.w., apabila tiba sepuluh terakhir Ramadhan, beliau akan menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya dan mengikat tali pinggangnya (tidak bersama isteri)”-Riwayat Bukhari dan Muslim Mandi antara Maghrib dan Isyak dan menghias diri dengan pakaian yang indah dan wangi-wangian, terutama pada malam-malam ganjil. Berusaha bersungguh-sungguh agar dikurniakan Lailatul Qadar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan dosa-dosa yang dilakukan sebelum itu“ Melakukan iktikaf di Masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a.: “Biasanya Nabi s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan” Membayar zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan. Memperbanyakkan sedekah. Source: JIM Daerah Batu

Berpuasa Pemangkin Daya Juang

Siti Shamsiah binti Md Supi Pegawai Penyelidik 13/08/2010 | Utusan Malaysia السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Walaupun pada umumnya manusia boleh memperjuangkan apa-apa sahaja untuk kepentingan dirinya kerana perjuangan itu bersifat relatif, namun pada penulis istilah perjuangan hanya mempunyai nilai dan harga apabila ia usaha untuk mencapai sesuatu yang positif dan dengan cara yang benar. Perjuangan untuk mengumpul harta kekayaan dengan tipu daya umpamanya hanya boleh dijelaskan sebagai mementingkan diri sendiri. Teras perjuangan ialah kebenaran kerana hak akan menjadikan seseorang terus meyakini apa-apa yang diperjuangkannya. Sudah semestinya Islam perlu dijadikan sebagai neraca untuk menentukan satu-satu perjuangan itu benar atau sesuatu yang hak. Rukun Islam yang ketiga, berpuasa dalam bulan Ramadan, sebenarnya boleh dijadikan sebagai medan latihan yang boleh memupuk semangat dan daya juang dalam diri. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT telah berfirman dan menyatakan bahawa setiap amalan anak Adam itu adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Puasa adalah satu-satunya amalan seorang hamba untuk Tuhannya dan akan dikurniakan balasan atas puasa tersebut. Beribadah atau melakukan sebarang tindakan bertitik tolak dari niat kerana niat adalah teras pada setiap amalan atau perbuatan. Setiap manusia boleh memilih untuk berpuasa ataupun tidak berpuasa. Seorang individu boleh berpura-pura di hadapan individu yang lain bahawa ia sedang berpuasa tetapi niatlah yang akan membezakan sama ada ibadah tersebut benar ataupun palsu. Penentuan terhadap niat tanda bermulanya latihan bagi seorang insan untuk memupuk semangat perjuangan dan perjuangan tersebut atas asas yang benar. Hamba yang berpuasa ialah hamba yang berjuang dan melawan godaan dari sebarang perkara yang boleh membatalkan puasanya. Perjuangan tersebut adalah semata-mata untuk membuktikan kepatuhannya sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Dan daya atau semangat perjuangan tersebut mempunyai peluang untuk dipertingkatkan kerana puasa itu sendiri mempunyai tahap-tahap tertentu. Perjuangan dalam berpuasa di peringkat permulaan adalah dengan hanya menahan perut dan kemaluan daripada melakukan perbuatan yang boleh membatalkan puasa, dan ia selaras dengan yang disebut dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Memang ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya itu kecuali lapar dan dahaga semata-mata (yakni, pahalanya lenyap sama sekali)”. Walaupun puasa ini hanya mampu mengelakkan seseorang daripada berdosa tanpa meraih sebarang pahala, tetapi malangnya masih ramai yang tidak mampu untuk berpuasa. Setiap tahun pasti akan berlaku kes-kes yang melibatkan kesalahan tidak menghormati bulan puasa di kalangan mereka yang dilihat mampu untuk berpuasa. Mereka tewas jika hendak dibandingkan dengan buruh-buruh kasar yang mempunyai semangat juang yang tinggi, tetap berpuasa walaupun bekerja di bawah terik matahari dan pada malamnya menyambung ibadah dengan bersolat tarawih. Berdasarkan kepada Hadis Rasulullah SAW, setiap individu Muslim mempunyai peluang untuk mempertingkatkan daya juang melalui puasa sebagai medan latihan dengan menjaga pahala puasa sebagaimana maksud Hadis berkenaan, “Lima perkara yang menghapuskan puasa, yakni dalam erti menghapuskan pahalanya ialah dusta, mengumpat, mengadu-domba, sumpah palsu dan melihat sesuatu dengan nafsu”. Selain daripada kelima-lima perkara tersebut ialah tindakan menahan pendengaran, perbuatan oleh kaki atau tangan dan anggota tubuh yang lain daripada segala bentuk dosa. Untuk menjaga semua perkara tersebut memang sesuatu yang amat sukar, tetapi kesukaran itulah yang dinamakan sebagai perjuangan. Di situlah individu Muslim dapat mengukur daya ketahanan dan semangat juangnya. Jika ia benar-benar ingin menjaga pahala puasanya, tentu ia akan membuat persediaan supaya matlamat perjuangannya akan tercapai. Maka, perjuangan bukan hanya memerlukan semangat tetapi juga kebijaksanaan, strategi dan kesabaran. Tingkat berpuasa yang jauh lebih baik adalah apabila hati seseorang turut berpuasa dengan menahan lintasan hati terhadap perkara-perkara yang remeh-temeh, bersifat duniawi dan apa-apa sahaja yang tidak mempunyai kaitan dengan Allah ‘azza wa jalla secara keseluruhannya. Bagi kebanyakan orang, kesabaran bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan apatah lagi bila ia menyentuh perkara-perkara yang besar dan sensitif. Dan lazimnya, manusia akan memujuk hatinya untuk bersabar dengan alasan-alasan yang rasional, balasan-balasan yang dijanjikan Allah SWT dan tentunya ia suatu proses yang memeritkan. Sebenarnya, sumber untuk memiliki kesabaran ialah doa yang dipohon ke hadrat Allah kerana itulah yang diajar kepada kita melalui firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 250, yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan teguhkanlah pendirian kami serta berikanlah kemenangan terhadap kaum kafir” dan Surah al-A’raf ayat 126, “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam”. Maka, puasa dalam bulan Ramadan adalah model juga medan latihan untuk mengasah atau memupuk semangat perjuangan. Ia perlu dimulakan dengan niat yang benar dan lillahi Ta’ala kerana ia akan menjadi asas dan sebab yang paling kukuh dalam perjuangan. Selain niat, ia perlu disertai oleh tindakan dan strategi yang bijaksana kerana kebijaksanaan akan dapat menjimatkan modal dan juga tenaga. Seterusnya, kesabaran wajib ada bagi mereka yang benar-benar ingin mencapai kejayaan dan memastikan perjuangan mereka tidak sia-sia. Dan hanya kepada Allah kesabaran itu dipinta bagi mereka yang meyakininya.

10 August 2010

Hubungan Nuzul Quran, Lailatul Qadar dan politik negara

Abdullah Azzam al-Qumi السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Bulan Ramadan dipilih Tuhan sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah turunnya al-Quran pada suatu malam dalam bulan Ramadan. "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." (maksud Al-Baqarah: 185) Sebab itu juga kita digalakkan membaca, tadarus al-Quran pada bulan Ramadan sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suciNya diturunkan. [Sebenarnya, kita juga digalakkan bertadarus pada luar bulan Ramadan juga. Tapi pada bulan ini kita makin digalakkan berbuat demikian, apatah lagi, bulan Ramadan itu dikenang sebagai bulan turunnya al-Quran.] Manakala dalam bulan Ramadan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar, maksudnya: [1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. [2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? [3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); [5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!" Pada ayat pertama, disebutkan dengan jelas bahawa al-Quran itu telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan sudah tentulah hal ini berlaku dalam bulan Ramadan kerana jumhur ulama menyifatkan demikian. (Sesetengah sufi besar seperti Ibnu 'Arabi lewat kitab agungnya Futuhat Makkiyyah mendakwa Lailatul Qadar juga pernah turun pada bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan di luar Ramadan. Wallahu'alam.) Ini kerana, ayat pertama di dalam surah al-Qadar ini ada kaitan dan kesinambungannya dengan ayat 185 al-Baqarah yang menyebutkan bahawa al-Quran itu memang diturunkan pada malam bulan Ramadan. Nabi Musa a.s bermunajat, berpuasa menunggu turunnya Taurat Seperti yang termaklum, hubungan Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Musa a.s itu amat erat. Seperti mana cara al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad, maka dengan cara yang sama jugalah kejadian itu berlaku ke atas umat Musa a.s, iaitu Bani Israel. Suatu zaman yang lalu, Nabi Musa a.s pernah bermunajat selamat 40 hari, 40 malam di atas bukit. Baginda juga berpuasa dalam tempoh turunnya 10 Rukun atau Ten Commandments itu; iaitu peristiwa seperti mana kita berpuasa untuk mengingati peristiwa turunnya al-Quran tersebut. "Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya yang zalim (terhadap diri sendiri). (maksud Al-Baqarah: 51) Peraturan dan syariat baru (Ten Commandments) itu dirakam dalam bentuk batu bersurat, prasasti untuk Bani Israel dan menurut riwayat, Nabi Musa a.s sendiri telah memecahkan batu bersurat yang terakam di atasnya peraturan baru terhadap umatnya itu. Puncanya, baginda berang ke atas sikap umatnya yang kembali menyembah anak lembu ciptaan Samiri. Sikap marah Nabi Musa itu turut tercurah ke atas saudaranya Nabi Harun. Allah s.w.t merakamkan kejadian tersebut. Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrael sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" (maksud Taha: 94) Kejadian itu benar-benar mengecewakan Nabi Musa a.s kerana hampir keseluruhan Bani Israel telah kembali menuju jalan kesesatan, melainkan segolongan yang kecil sahaja yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Tauhid yang asal. Samiri, mungkin seorang pengamal sihir telah mengambil kesan jejak langkah rasul untuk menguatkan lagi kesan sihirnya ke atas Bani Israel. Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Samiri, maka penyihir itu berkata. "Ia menjawab: "Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku". (Taha: 96) Demikianlah halnya dengan nasib umat Islam hari ini. Mereka boleh disesatkan ahli sihir, wanita penyihir yang menjadi isteri pembesar secara halus dan tersirat jika agamawan dan mufti masih setia dan selesa menjaga kedudukannya dengan mengambil sikap membisu (syaitan bisu) dan tidak membuka simpulan tali pada lidahnya dalam usaha menegur amalan sihir isteri pembesar yang boleh menyesatkan aqidah umat ini secara beransur-ansur. Sikap Muslimin terhadap Lailatul Quran Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit. Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad s.a.w menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj. Rasulullah s.a.w pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka nabi meminta kita membaca doa, "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar..." Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat serta ruh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain. Biarlah kita mohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, membanyakkan sedekah dan lain-lain. Dan jika kita mendapat projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan tidaklah kita mengalibabakan projek sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita Mongolia. Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh baginda tadi - "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar." Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan dimakbulkan segala doa dan hajat. Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di depan mata. Adalah terlebih afdal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan. Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah Ta'ala.

04 August 2010

AHLAN YA RAMADHAN

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته