30 September 2011

8 anggota PBB sokong Palestin

RAMALLAH: Palestin mendapat sokongan lapan anggota Majlis Keselamatan untuk menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kurang satu untuk mendapatkan sembilan undian diperlukan.

Bercakap kepada media di sini, Menteri Luarnya, Riyad al-Maliki berkata beliau menerima jaminan daripada dua lagi negara - Nigeria dan Gabon – untuk mengundi bagi pihak Palestin.

“Lapan negara menyokong Palestin dalam Majlis Keselamatan. Kami sedang bekerja keras untuk mendapatkan undian kesembilan dan kesepuluh,” katanya.
Riyad berkata, Palestin mendapat jaminan undian ‘ya’ dari Lubnan, Russia, China, India, Afrika Selatan dan Brazil sebagai tambahan kepada pengesahan baru dari Nigeria dan Gabon.

“Kami sedang berusaha mendapatkan undi Bosnia, Colombia dan Portugal,” katanya lagi.

Beliau dijadualkan melawat Bosnia sejurus selepas itu manakala Presiden Palestin Mahmud Abbas akan melawat Colombia, Portugal, Honduras dan Republik Dominica pada Oktober ini. – AFP

04 September 2011

Kebuluran di Somalia merebak

NAIROBI 3 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kebuluran yang melanda selatan Somalia dijangka merebak ke wilayah lain dalam tempoh beberapa hari.

Menurut PBB, situasi di negara ini terus bertambah buruk, walaupun usaha bantuan antarabangsa secara besar-besaran sedang dijalankan.

"Situasi kini menjadi bertambah buruk," kata pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam laporannya yang dikeluarkan lewat semalam.

Menurut laporan itu, Jabatan Analisis Pemakanan Keselamatan Makanan Somalia (FSNAU) memberi amaran hampir semua wilayah selatan Somalia akan berhadapan dengan kebuluran.

"Walaupun pelarian berkurangan, kadar pemakanan tidak seimbang serta kematian meningkat dan penyakit berjangkit merebak," kata OCHA.

PBB sebelum ini menyifatkan Somalia berhadapan dengan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Kebuluran diisytiharkan di selatan Bakool dan wilayah Lower Shabelle di selatan Somalia pada Julai lalu.

Ia kemudiannya merebak ke tiga kawasan lain, termasuk ibu negara Somalia, Mogadishu dan koridor Afgoye, kem pelarian terbesar di dunia.

Kebuluran diisytiharkan apabila 20 peratus daripada isi rumah berhadapan dengan kekurangan makanan serius, pemakanan tidak seimbang melebihi 30 peratus dan dua kematian untuk 10,000 orang setiap hari, menurut tafsiran PBB. - AFP

Sumber Berita:Utusan Online