02 March 2011

Amerika mahu serang Libya

TRIPOLI 1 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berhimpun dekat sempadan Tunisia semalam manakala Amerika Syarikat (AS) menggerakkan kapal perang dan tentera udaranya menghampiri Libya. Penduduk bimbang askar pro-Gaddafi sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan bagi menawan semula bandar Nalut, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Tunisia di barat Libya, daripada penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan beliau. AS dan kerajaan asing lain semalam membincangkan langkah ketenteraan yang boleh diambil terhadap Libya sementara Gaddafi memperkecilkan ancaman terhadap rejimnya daripada pemberontakan rakyat yang semakin meluas. Dalam kecaman paling keras terhadap pemimpin Libya itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata, Gaddafi mengalami 'delusi dan sudah terpisah daripada realiti', 'menyembelih rakyatnya sendiri' dan tidak layak untuk memimpin. Katanya, Washington sedang berunding dengan rakan-rakan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta sekutu lain mengenai tindakan ketenteraan ke atas Libya. AS yang menempatkan Armada Keenamnya di Itali berkata, tentera laut dan udaranya digerakkan lebih hampir dengan Libya sementara pelbagai pelan luar jangka sedang dirangka. AS juga berkata, aset Gaddafi dan keluarganya bernilai kira-kira AS$30 bilion (RM93 bilion) di AS telah dibekukan. Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, kerajaannya akan berusaha untuk menguatkuasakan zon 'larangan terbang' di Libya bagi melindungi rakyatnya daripada serangan udara tentera Gaddafi. Gaddafi, 68, menolak desakan supaya beliau berundur dan memperkecilkan kekuatan pemberontak yang telah menamatkan pemerintahannya di timur Libya dan kini semakin menghampiri ibu negara, Tripoli. "Semua rakyat saya mengasihi saya, mereka sanggup mati untuk melindungi saya," katanya kepada rangkaian televisyen AS, ABC dan Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam wawancara di sebuah restoran di Tripoli semalam. Beliau menafikan tentera udaranya menyerang penunjuk perasaan, sebalik mendakwa pesawat pejuang Libya mengebom lokasi tentera dan depot senjata. Ketika pemberontakan masuk ke minggu ketiga, situasi di kawasan konflik sukar dipastikan disebabkan masalah untuk bergerak di beberapa bahagian negara ini serta sistem komunikasi yang tidak lancar. Seorang penduduk Nalut berkata, askar Gaddafi yang tiba dengan kenderaan dilengkapi mesingan berat sudah mengepung kawasan dekat sempadan Tunisia. - Reuters

01 March 2011

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pemberontak tunggu serangan

TRIPOLI 28 Feb. – Pemberontak Libya sedang menunggu serangan balas daripada pasukan keselamatan Muammar Gaddafi, selepas pemimpin negara ini enggan memenuhi kehendak penunjuk perasaan untuk mengundurkan diri. Pemberontak yang merampas Zawiyah, kira-kira 50 kilometer (km) dari barat Tripoli berkata, kira-kira 2,000 askar yang setia kepada Gaddafi kini mengepung bandar itu. ‘‘Kami akan melakukan yang terbaik dalam mempertahankan bandar ini. Mereka akan serang tidak lama lagi. Jika kami bertempur kerana mahukan kebebasan, kami bersedia untuk mati,’’ kata bekas anggota polis berpangkat mejar yang menyertai pemberontakan. Gaddafi kini menggempur pemberontakan yang merebak di seluruh Libya selepas demonstrasi besar-besaran menggulingkan pemimpin negara jiran, Tunisia dan Mesir. Tindakan keras Gaddafi dalam menggempur pemberontakan menyebabkan kematian beratus-ratus orang di Libya. Penduduk di beberapa bahagian di Tripoli juga telah membina sekatan terhadap pasukan keselamatan kerajaan. Seorang jeneral di sebuah bandar di timur negara itu yang berjaya dirampas oleh tentera berkata kepada Reuters bahawa pasukannya kini bersedia membantu pemberontak di barat negara ini. ‘‘Saudara kami di Tripoli menyatakan mereka masih berada dalam keadaan baik, mereka tidak memerlukan pertolongan. Jika mereka memintanya, kami bersedia untuk bergerak,’’ kata Jeneral Ahmed el-Gatrani, pegawai kanan tentera di Benghazi. Para penganalisis menjangka pasukan pemberontak akhirnya akan mengambil alih ibu negara dan membunuh atau menangkap Gaddafi. Bagaimanapun, kata para penganalisis, Gaddafi mempunyai kekuatan untuk menimbulkan huru-hara atau perang saudara, prospek yang diberi amaran oleh pemimpin Libya itu dan anaknya. – REUTERS