18 December 2010

Nik Aziz derma satu pertiga simpanan kepada PAS

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu mendermakan satu pertiga wang simpanannya kepada PAS sebagai tanda syukur kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menutup fail dakwaan rasuah terhadap beliau dan menantunya. Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, wang simpanannya kepada PAS bagi memantapkan lagi parti dalam usaha memperjuangkan Islam. "Saya sudah maklum pada setiausaha saya minta semak duit dalam akaun ada berapa, kemudian bahagi tiga. Saya hendak beri kepada parti sebagai sumbangan dalam memantapkan gerakan daulah Islamiyah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di kediamannya di Kota Bharu, hari ini. Mursyidul Am Pas itu berkata, tindakan itu sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup kes bersabit tajaan terhadapnya untuk mengerjakan haji melibatkan kos RM65,000 tahun lalu. Nik Aziz berkata, dakwaan berhubung rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci pihak tertentu lantaran kecekalannya memperjuangkan dasar Islam. "Orang tuduh saya kerana benci dengan saya terus memperjuangkan Islam. Tapi, walau apapun, asal kita ini berada pada landasan yang benar, Allah tetap bantu kita dengan kebenaran. "Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT dengan keputusan itu," katanya. Menurut Nik Aziz, beliau juga tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menimbulkan masalah kepada pentadbiran PAS Kelantan diterajuinya. "Soal menantu saya nak ambil tindakan itu dia punya pasal. Saya tidak bercadang nak ambil apa-apa tindakan balas, cukuplah mereka insaf dan kesal dengan perbuatan itu," katanya. Semalam, SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu. sumber berita:MALASIA KINI

16 December 2010

Perancis jadi tuan rumah persidangan anti Islam pertama di Eropah

Paris, ibu kota Perancis akan menjadi tuan rumah pertama satu persidangan memerangi penyebaran Islam di Eropah yang bakal diadakan pada 18 Disember nanti. Persidangan tersebut dijangka akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin kanan beberapa pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu dari seluruh Eropah bagi membincangkan mengenai permusuhan mereka dengan Islam. Sebagai langkah menghadapi kecaman peserta persidangan tersebut, beberapa pihak telah melakukan kempen dan forum menerusi internet (laman sosial) mendesak agar pihak kerajaan campur tangan dan melarang majlis tersebut. Dalam salah satu forum, kelompok yang berkempen untuk menghalang dari berlangsungnya persidangan tersebut berkata “Ini merupakan sebuah persidangan yang secara jelasnya bersifat rasis, tidak bersembunyi di sebalik sesuatu untuk menyatakan permusuhan mereka terhadap Islam dan serangan terhadap sebarang simbol berkaitan Islam. Tujuan persidangan tersebut untuk memerangi keganasan Islam. Ia adalah sebuah usaha untuk menambahkan lagi bara kebencian terhadap Islam dan umat Islam.” Persidangan tersebut diselenggarakan oleh organisasi yang menggunakan nama “fighting Islamization” dari Mass Identity, iaitu sebuah kumpulan pemuda yang mempunyai hubungan rapat dengan sayap kiri Front Nasional Perancis yang banyak mengutarakan slogan permusuhan terhadap kaum imigran, khususnya orang Islam. Laman web Islamonline turut melaporkan bahawa “gabungan menentang Islamophobia telah menghantar mesej kepada pertubuhan Hak Asasi Manusia di Perancis agar sama-sama menandatangani bantahan menuntut persidangan tersebut supaya dibatalkan oleh kerajaan. From:UMMATAN WASATAN.NET