25 February 2011

Gaddafi izin tentera tembak sesuka hati

PARIS: Seramai 2,000 orang terbunuh di Libya selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi mengizinkan anggota keselamatan mengganas bagi menghentikan protes antipemerintah, kata seorang menteri kanan Itali dan bekas pegawai kanan Tripoli. Ini didedahkan oleh duta hak asasi Perancis, Francois Zimeray dalam wawancara dengan agensi berita. “Kekacauan dan pertumpahan darah itu umpama pengusiran pengikut Nabi Musa oleh Firaun,” kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini sambil meramalkan beribu-ribu warga Libya akan lari ke negaranya. Awalnya, angka korban itu didedahkan oleh ketua protokol Muammar Gaddafi, Nouri el-Mismari, sambil menambah lebih 600 daripada mangsa terbunuh di Tripoli. Mismari yang berkunjung ke Perancis lewat tahun lalu atas alasan kesihatan, berkata pemberontakan itu setakat ini menyebabkan ‘lebih 1,000 orang maut di seluruh Libya’ namun tidak menjelaskan sumber anggaran. Selasa lalu, rejim Libya berkata, 300 orang terkorban dalam bantahan, namun Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (IFHR) pula melaporkan sekurang-kurangnya 640 orang maut. “Keadaan ini amat serius, rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun. Ini adalah kebangkitan menamatkan pemerintahan Gaddafi. Malah, sokongan kepada Gaddafi tidak sampai lima peratus,” kata Mismari. Anggota puak yang menyokongnya tidak ‘berjuang untuk Gaddafi tetapi untuk diri mereka,’ tambahnya. Mismari juga mendakwa, askar upahan yang melakukan pembunuhan terhadap rakyat Libya secara besar-besaran. “Mereka tembak membabi buta sementara tentera udara tidak akan menembak rakyat,” katanya lagi. “Gaddafi amat bertuah jika mati. Jika tidak, rakyat mahukan beliau dibicarakan seperti Saddam Hussein.” Rejim Gaddafi kehilangan kawasan meluas di timur Libya terhadap pemberontakan itu, ia muncul kelmarin ketika Barat bersiap sedia untuk mengeluarkan rakyatnya secara besar-besaran daripada ‘pertumpahan darah’ di negara Afrika Utara itu. Katanya, Gaddafi memakai baju kalis peluru di sebalik pakaiannya dan alat perlindungan di bawah serbannya ketika berucap di televisyen Selasa lalu apabila beliau mengarahkan pasukan keselamatan menyuraikan pemberontakan. – Agensi

21 February 2011

Ulama seru henti pembunuhan

TRIPOLI 20 Feb. - Para ulama dan ketua kabilah Libya menggesa pasukan keselamatan negara ini menghentikan pembunuhan orang awam dalam kekacauan yang tercetus ekoran protes yang semakin meningkat mencabar kuasa pemimpin veteran, Muammar Gaddafi dengan angka korban dilapor mencecah 200 orang. Pasukan keselamatan Libya menembak mati berpuluh-puluh penunjuk perasaan antikerajaan di bandar raya Benghazi, timur negara ini dalam keganasan terbaru malam tadi, lapor stesen televisyen Al-Jazeera. Pertumpahan darah itu mendorong kira-kira 50 ulama dan ketua kabilah mengeluarkan rayuan kepada pasukan keselamatan, selaku orang Islam, supaya menghentikan pembunuhan. "Rayuan penting ini datang daripada para ulama, golongan cendekiawan dan ketua-ketua kabilah dari Tripoli, Bani Walid, Zintan, Jadu, Msalata, Misrata, Zawiah serta pekan dan bandar lain di kawasan barat. "Kami merayu kepada setiap Muslim, yang menganggotai rejim atau membantunya dengan apa cara, supaya menyedari bahawa pembunuhan orang awam diharamkan oleh Pencipta kita dan oleh Nabi-Nya yang dikasihi...Jangan bunuh saudara seagama kamu. HENTIKAN pembunuhan beramai-ramai SEKARANG!", menurut rayuan itu. Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch mengesahkan 104 orang terbunuh dalam tempoh tiga hari lalu apabila pasukan keselamatan menggunakan kekerasan untuk menghentikan protes yang meniru pemberontakan rakyat di Mesir dan Tunisia. Akhbar Britain, Independent hari ini melaporkan, angka kematian di Benghazi, bandar raya kedua terbesar di Libya, mungkin setinggi 200 orang. "Berpuluh-puluh orang terbunuh. Kami sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai di sini (Libya)," kata seorang saksi. Benghazi dan kawasan sekitarnya menjadi fokus kekacauan tetapi laman rangkaian sembang sosial turut melaporkan berlaku pertempuran kecil di ibu negara, Tripoli dan bunyi tembakan di bandar Nalut, ke barat, malam tadi. Al-Jazeera hari ini melaporkan sebilangan anggota pasukan keselamatan yang ditangkap oleh penunjuk perasaan dipercayai warga asing yang diupah oleh pihak berkuasa. Stesen itu sebelum itu berkata, sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penduduk yang menghadiri pengebumian seorang penunjuk perasaan. - Reuters

Libya berdepan perang awam, kata anak Gaddafi

KAHERAH: Saif al-Islam Gaddafi, anak kepada Presiden Muammar Gaddafi berkata Libya kini diambang perang awam dan menyifatkan protes besar-besaran terhadap pemerintahan ayahnya berpunca daripada perancangan pihak asing. Dengan menyalahkan pegawai dagang dari Arab dan Afrika yang cuba mengeruhkan suasana di Libya, beliau berkata, keganasan dan tunjuk perasaaan yang tercetus di negara itu bertujuan mengkucar-kacirkan pemerintahan Islam. “Ketika ini terdapat kereta kebal yang dibawa oleh orang awam di Benghazi,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, awal hari ini. "Kami mempunyai senjata, tentera juga mempunyai senjata dan pasukan yang mahu memusnahkan Libya juga mempunyai senjata," katanya. Kadhafi, yang berucap dalam bahasa Arab juga merayu sokongan terhadap perlembagaan baru dan undang-undang baru yang lebih liberal. Dengan nada keras dan menunjuk-nunjukkan jarinya, Saif juga menyalahkan media asing kerana sengaja memperbesarkan jumlah kematian yang kini dilaporkan 80 orang sejak tunjuk perasaan antikerajaan melanda negara itu. “Libya bukannya Mesir dan juga Tunsia, Kita di Libya tidak mempunyai parti politik. "Kita sedia mengangkat senjata...kami akan berperang sehingga peluru terakhir. "Kami akan memusnahkan penfitnah. Semua pihak mempunyai senjata dan ia akan menjadi perang awam, kita akan berbunuh sesama sendiri," katanya. Saif berkata, ayahnya akan mengetuai penentangan terhadap penunjuk perasaan dan menambah" "Kami akan menang." - AFP

Gaddafi's son warns of civil war - Africa - Al Jazeera English

Gaddafi's son warns of civil war - Africa - Al Jazeera English

Bantahan Libya dihujani misil

BENGHAZI: Senjata berat, termasuk misil antipesawat, didakwa digunakan ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi di Libya dengan jumlah kematian dilaporkan melebihi 100 orang sejak bantahan ala Mesir tercetus minggu lalu.“Kereta kebal dan helikopter dengan membawa askar upahan asing bertempur dengan penunjuk perasaan. Sekurang-kurangnya seorang terbunuh akibat terkena misil antipesawat, manakala beberapa mayat didapati ditembak mesingan berat,” kata seorang penyelaras perubatan wilayah di sini. Seorang pegawai hospital pula mengesahkan salah seorang yang terbunuh, mati akibat terkena peluru berpandu antipesawat di kepala dan dada. Hospital itu dibanjiri mangsa dan ramai penduduk tampil untuk menderma darah. “Kebanyakan yang mati dan cedera adalah saudara mara kepada doktor di sini,” katanya. “Mereka (doktor) menangis dan saya merayu kepada mereka agar tabahkan hati dan membantu mereka yang cedera.” Selain Benghazi, pertempuran juga dilaporkan tercetus di Al-Bayda, Ajdabiya, Zawiya, dan Darnah, dengan beberapa saksi menyatakan bom Molotov, raifal dan pedang antik Arab digunakan penunjuk perasaan. Penunjuk perasaan di Ajdabiya mengisytiharkan bandar mereka ‘merdeka’ selepas membakar ibu pejabat Jawatankuasa Revolusi yang diketuai oleh pemimpin Libya Muamar Gaddafi, bersama-sama 14 bangunan lain. Laporan juga menyatakan ramai orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, mati ketika melompat dari jambatan untuk melarikan diri dari tentera upahan asing yang disyaki didatangkan dari negara jiran seperti Chad. “Berpuluh terbunuh ... kami sedang berada di tengah-tengah medan pembunuhan kejam di sini,” seorang saksi memberitahu Reuters. Lelaki itu berkata beliau sendiri membantu membawa mangsa cedera ke hospital di Benghazi. Saksi itu berkata, pasukan keselamatan berundur ke kawasan berpagar di tengah bandar itu selepas menembak orang ramai yang pulang daripada upacara pengebumian penunjuk perasaan yang terbunuh pada hari sebelumnya. Tindakan berdarah pasukan keselamatan mendorong kira-kira 50 pemimpin agama di Libya mengemukakan rayuan yang dihantar kepada agensi berita Reuters meminta pembunuhan dihentikan. “Ini adalah rayuan segera daripada pemimpin agama, ulama, ahli pendidikan dan pemimpin puak dari Tripoli, Bani Walid, Jadu, Msalata, Misrata, Zawiah dan bandar serta perkampungan di kawasan barat. “Kami meminta kepada setiap Muslim di dalam rejim atau yang membantunya dalam apa juga cara, untuk mengakui bahawa membunuh orang yang tidak bersalah adalah dilarang oleh Allah dan Rasul. Jangan bunuh saudara anda. Henti pembunuhan sekarang juga!,” kata kenyataan itu. – Reuters/Agensi