14 September 2010
Ulama kanan Mesir kutuk perbuatan bakar al-Quran
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
KAHERAH 13 Sept. - Seorang ulama kanan Mesir semalam mengutuk sekumpulan penganut Kristian yang mengoyak helaian al-Quran di hadapan White House pada upacara memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001 dengan menyifatkan tindakan mereka sebagai 'keji'.
"Mereka adalah sekumpulan kecil individu yang mempunyai rasa dendam, dibutakan oleh pelampau dan memiliki niat jahat untuk mencemarkan Islam.
"Tindakan keji mereka tidak akan menjejaskan kesucian al-Quran," kata Imam Besar, Masjid al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb (gambar) seperti yang dipetik agensi berita MENA ketika mengulas tindakan sekumpulan penganut konservatif Kristian yang membakar helaian al-Quran kelmarin dalam satu bantahan di hadapan White House.
Tindakan tersebut dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September, di tengah-tengah ketegangan berikutan ancaman seorang paderi Florida merancang untuk membakar kitab suci Islam itu.
Seorang penunjuk perasaan, Randall Terry berkata, kepalsuan yang menyatakan Islam sebagai sebuah agama yang cintakan perdamaian perlu berakhir.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Andrew Beacham, semasa bantahan itu turut memetik ayat al-Quran yang didakwa menyemarakkan rasa benci terhadap penganut Kristian dan Yahudi, sebelum mengoyakkan helaian naskah kitab tersebut.
Sementara itu, penduduk Islam di AS terus melahirkan kekecewaan mereka berhubung tindakan segelintir rakyat negara itu yang masih tidak dapat menerima Islam, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
Walaupun penganut Islam AS mengutuk serangan 11 September dan menegaskan mereka juga adalah rakyat AS, tindakan itu dilihat masih belum cukup untuk menghentikan perasaan benci terhadap Islam.
"Kami tidak perlu meminta maaf, tiada apa yang kamu perlu takutkan, kami juga tidak perlu rasa malu kerana kami tidak bersalah.
"Tetapi kami perlu keluar dan meluahkan perasaan ini," kata imam Mohammed Ibn Faqih daripada Institut Orange County di Anaheim, California, sehari sebelum ulang tahun 11 September. - AFP/AP
Subscribe to:
Posts (Atom)