14 February 2009
Buka pintu jihad, Baitulmaqdis milik umat Islam dunia
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahukan pintu jihad di Palestin dibuka kepada umat Islam di seluruh dunia
Ini kerana, katanya Baitulmaqdis dan Palestin bukan hak milik orang Arab sahaja tetapi menjadi hak umat Islam di seluruh dunia.
"Buka pintu jihad kepada umat Islam kerana Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Baitulmaqdis bukan hak orang Arab sahaja kerana Palestin dan Baitul Maqdis hak umat Islam di seluruh dunia.
"Ketahuilah, wahai kuasa-kuasa besar dunia apa yang berlaku di Gaza ialah 'kepalanya di Gaza dan ekornya di Indonesia'.
"Itu panjangnya tentera Islam. Sejumlah 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia. Walau pun kerajaan-kerajaannya takut tetapi rakyatnya bersemangat," tegasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Rayuan Gaza di Padang Bola Pekan Batu Enam, dekat sini, semalam.
Katanya, peperangan di Gaza itu merupakan 'peperangan Ahzab' sebagaimana yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.
Menurutnya, peperangan tersebut sekaligus bagi menguji keimanan orang Islam dan kerajaan Islam di seluruh dunia.
Namun begitu, beliau berkeyakinan bahawa umat Islam akan mencapai kemenangan di Palestin serta tentera Yahudi dan Israel akan dikalahkan.
"Hari ini orang Yahudi sudah menunjukkan tanda-tanda kekalahan. Mereka (Yahudi) bergaduh sesama sendiri sangat dahsyat.
"Hari ini, hari Israel mengadakan pilihan raya, dia bergaduh sesama sendiri. Berperang antara parti-parti politik di Israel. Hari ini orang-orang Yahudi membina kubu-kubu di kampung-kampung mereka. Kubu dibina dari konkrit yang teguh dan mereka mendirikan tembok-tembok," jelasnya.
Apa yang berlaku hari ini, kata Ustaz Abdul Hadi adalah tanda-tanda kemenangan Islam dan tanda-tanda Israel akan dikalahkan dengan izin Allah SWT.
Tetamu yang hadir pada majlis tersebut jurucakap pemimpin Hamas Palestin iaitu Sami Abu Zuhri yang pernah merengkok dalam penjara Israel selama enam tahun.
Sebelum itu beliau pada sebelah siangnya, berada di Majlis Rayuan Gaza dan Tabung Kemanusiaan Harakah di Kuala Lumpur dan menerima sumbangan dana sejumlah RM500,000 daripada tabung tersebut manakala lebih RM400,000 daripada pertubuhan, NGO dan individu yang menyampaikan sendiri kepada Sami dalam majlis tersebut.
Hadir sama dalam ceramah semalam, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik. - azm/mks.
Pilihan raya Israel lenyapkan impian Palestin
Oleh Daoud Kuttab*RAKYAT Palestin berharap pilihan raya Israel akan memilih pemimpin yang memberi fokus untuk menamatkan penderitaan dialami selama ini.
Kelibat pemimpin Yahudi benar-benar ikhlas selesai isu Asia Barat masih belum kelihatan
PEPERANGAN dan keganasan lazimnya mempunyai kesan secara langsung ke atas proses pilihan raya. Peperangan sering mencipta perubahan dramatik dalam pemilihan pengundi. Sering kali kumpulan minoriti boleh menjadi kuasa penentu kepada parti-parti yang bersaing. Inilah yang berlaku pada pilihan raya Israel baru-baru ini. Parti sayap kanan, Likud, yang dipimpin Benjamin Netanyahu bersama Avignor Liberman dan Yisrael Beiteinu mendahului Parti Buruh, yang begitu berkuasa dalam sejarah Israel selama ini - kini berada ke tangga keempat.
Sepanjang kempen pilihan raya itu, persaingan antara bakal pemimpin Israel ialah siapa yang boleh berurusan lebih tegas (dibaca sebagai lebih ganas) ke atas rakyat Palestin. Dalam suasana selepas diserang, rakyat Palestin pula berharap Israel akan memilih seorang pemimpin yang akan memberi fokus untuk menamatkan penderitaan yang dialami selama ini, menarik balik semua sekatan dan membina semula negara mereka. Tetapi kelihatan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pilihan raya Israel terakhir pada 1996 menerima kesan serius akibat keganasan yang berlaku, apabila keputusan diperoleh membolehkan Netanyahu menang amat tipis, mengatasi pemangku Perdana Menteri, Shimon Peres.
Ketika bersaing menentang Peres yang jauh lebih tua (yang mengambil alih pentadbiran selepas pembunuhan Yitzhak Rabin), Netanyahu mewarnakan rambutnya putih untuk kelihatan lebih matang, sebelum mengambil peluang terhadap kelemahan Rabin menguruskan perang kecil ke atas Palestin serta kegagalannya mengawal kemarahan pengundi Arab Israel. Sekarang Peres ialah Presiden Israel, manakala Netanyahu mengetuai Likud. Tetapi tidak banyak yang berubah. Perang ke atas Palestin masih diurus dengan begitu buruk, rundingan damai masih belum menemui jalan penyelesaian, tindakan boikot pengundi Arab Israel pada pilihan raya 2009 ini seperti ulang tayang peristiwa 1996 - apabila pembunuhan Rabin menamatkan rundingan Palestin-Israel pada saat paling penting dan perang Peres ke atas Selatan Lubnan mengurangkan kelebihannya yang ketika itu hampir terikat kedudukan dengan Netanyahu. Kemarahan rakyat Israel keturunan Arab atas tindakan tentera Israel membunuh saudara mereka di seberang sempadan pada 1996, telah membawa kepada pemulauan yang menyebabkan Peres kehilangan beberapa ribu undi yang diperlukan untuk menang. Pilihan raya Israel 2009 ini mempunyai banyak persamaan dengan pilihan raya 1996. Ia berlaku selepas dua perang kontroversi (walaupun calon ketika ini tidak terbabit secara langsung dengan perang 2006 dengan kumpulan Hizbullah).
Ia juga menyusul beberapa rundingan antara Perdana Menteri Israel, Ehud Omlert dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang dipercayai berjaya membawa kedua-dua pihak lebih rapat antara satu sama lain. Tetapi perang dan keganasan yang berlaku menyebabkan pengundi berpaling kepada parti sayap kanan dengan operasi Israel di Gaza baru-baru ini tidak terkecuali. Ramai rakyat Israel keturunan Palestin marah dengan angka kematian dan kecederaan yang menimpa saudara mereka dan tidak mengundi Likud - kerana ia seolah-olah merestui sistem politik yang bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai. Kumpulan ini tidak keluar mengundi langsung. Elemen paling penting sekarang ialah pentadbiran baru di Amerika Syarikat. Kemenangan mutlak calon yang menentang Perang Iraq dan mempunyai niat untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Iran, tidak ragu-ragu lagi akan mempunyai pengaruh besar dalam hubungan AS-Israel dan proses damai. Pelantikan George Mitchell - yang menentang penempatan Israel di Tebing Barat dan keputusannya untuk membuka sebuah pejabat di Baitulmaqdis - dengan jelas mencerminkan apa yang perlu diharap kerajaan baru Israel daripada pentadbiran Barack Obama. Dunia Arab juga dalam suasana tidak keruan dan dibanjiri manusia, selepas siaran langsung selama 22 hari serangan Israel ke atas Gaza. Jutaan penduduk di Asia Barat membanjiri jalan raya, amat marah apabila tidak ada siapa boleh menghalang pertumpahan darah yang berlaku di Palestin. Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Pihak Berkuasa Palestin sendiri kembali menilai kedudukan yang berhaluan sederhana dan sentiasa bertolak ansur. Halangan utama dunia dalam usaha untuk melegakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza ialah mencari jalan terbaik untuk membantu Majlis Perundangan Palestin menyusun semula senarai reformasi dan perubahan yang dicetuskan Ismael Haniyeh. Cabaran ini menjadi lebih menarik dengan kesanggupan negara Eropah untuk berurusan dengan sebuah pentadbiran Palestin yang bersatu, termasuk kumpulan Hamas yang diketuai Ismael. Sikap pragmatik Obama dan keengganannya untuk meneruskan kempen 'memerangi keganasan' yang dicetus pentadbiran George W Bush, akan menjadi kunci utama menentukan hasil rundingan damai selepas ini. Walau apapun, di sebalik penyelesaian bantuan perubatan kepada mereka yang cedera dalam serangan Israel baru-baru ini, kebimbangan utama semua pihak sekarang ialah memastikan usaha Israel untuk membahagikan Gaza dari Tebing Barat, tidak menjadi kenyataan. Mesir dan Pihak Berkuasa Palestin sudah diberi gambaran buruk di mata dunia Arab, berikutan keengganan mereka untuk bertanggungjawab menjaga Gaza kepada Mesir dan kemungkinan Jordan untuk Tebing Barat. Cadangan ini sebenarnya adalah perangkap yang akan memusnahkan kemungkinan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka. Walau apapun keputusan pilihan raya, rakyat Palestin masih berharap untuk menggerakkan semula momentum beberapa perkara yang masih belum dapat persetujuan bersama dengan Israel. Tatkala konsensus antarabangsa hari ini semakin menyokong penyelesaian pembentukan dua negara untuk meleraikan status Baitulmaqdis dan pelarian Palestin, sudah pasti akan menjadi halangan utama yang akan dihadapi kedua-dua pihak. Satu-satunya harapan kembali ke meja rundingan sekarang adalah berasaskan pendapat lama 'hanya Nixon boleh membuka China'. Maknanya hanya pemimpin Israel yang benar-benar berhaluan kanan akan mempunyai cukup kewibawaan untuk berdamai dengan rakyat Palestin. Tetapi apa yang jelas bagi pakar sejarah ialah Nixon memang bersungguh-sungguh untuk membuka pintu China sejak dia mula mengambil alih tugas sebagai Presiden. Sayangnya, dalam kes Palestin-Israel ini, calon yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri Israel yang dilihat boleh mengambil langkah tegas untuk meleraikan krisis sejak sekian lama, masih belum kelihatan kelibat mereka.
08 February 2009
KEMELUT POLITIK PERAK SINONIM DENGAN BKK.
Sebelum ini dapat dibanggakan bahawa suasana politik dikawal teratur dibawah sistem demokrasi beraja di semenanjung Malaysia berbanding dengan suasana politik di Thailand.
Oleh kerana di sini(negara Thai) keadaan politik hampir menemui jalan buntu akibat dari karenah ahli politik namun demikian untuk mengsahkan kedudukan masing-masing yang bertelingkah mereka sanggup mengaitkan istana sebagai motif politik mereka berbanding sebelumnya demokrasi dari rakyat untuk rakyat, dengan demikian pihak lawan tidak semena-mena menjadi orang derhaka dibuatnya, akibatnya pihak lawan telah digembelingkan oleh semua kuasa yang ada untuk menghapuskan pemimpin politik kelumpak merah yang dilabelkan derhaka supaya hilang kuasa tadbir negara sekalipun telah menang pilihan raya.
Atas alasan penderhaka kumpulan berbaju kuning berbuat apa saja untuk membantutkan pemerintahan kelompuk merah seperti merampas lapangan terbang,pejabat perdana menteri juga bertindak menghalang parlimen dari bersidang. Akhirnya kerajaan pimpinan kelompuk merah tumbang dan kini dikuasai kelompuk kuning pula.
Dan kini giliran yang memakai lambang merah(baju) sebagai simbul perjuangan mereka pula bertindak diluar garisan untuk bertindak balas diatas apa yang dibuat sebelumnya oleh lawannya yang memakai baju kuning sebagai simbul tanda perjuangan.
Walaubagaimanapun kedua-dua pihak masih mengakui taat setia kepada institusi raja selaku pendukung kepada sistem demokrasi berparlimen namun ketinggian raja telah dijadikan sebagai suatu senjata dipersada politik mereka.Maka dengan sendirinya Institusi Raja yang paling tinggi makamnya didalam kepercayaan orang budha itu telah diperkosakan setengah pihak.Saya khawatiri bila institusi yang bukan politik telah dipolitikkan dan institusi politik sudah tidak berada di persada politiknya, diibaratkan LETAK SESUATU BUKAN PADA TEMPATNYA dalam Islam namanya ZALIM, jika kalimah ini disahkan jaga-jaga kemurkaan Allah tidak mengenal siapa!!
Israel serang Genting Gaza Lagi
SEORANG askar Israel mengangkat kakinya bagi menghadang penduduk Palestin yang mengadakan demonstrasi membantah tindakan Israel membina halangan pemisah di kampung Jyyrus dekat Qalqilya di Tebing Barat kelmarin. - AFP
GAZA CITY, 7 Feb. - Rejim Zionis Israel melancarkan serangan udara di Genting Gaza lewat semalam dengan memberi alasan bagi memusnahkan kem-kem pejuang Hamas dan terowong-terowong rahsia.
Jurucakap rejim Zionis itu mengesahkan serangan itu dan menyatakan bahawa serangan udara itu memusnahkan empat terowong rahsia dekat sempadan Mesir, yang digunakan untuk penyeludupan senjata.
"Kami turut menjadikan kem-kem tentera pejuang sebagai sasaran untuk dihancurkan mengguna peledak berkuasa tinggi. Ini tindak balas ke atas pelancaran roket pejuang Palestin pada pagi ini," katanya.
Terdahulu, pasukan keselamatan Palestin berkata, tentera udara rejim Zionis Israel telah melancarkan serangan ke atas kawasan Rafah, berhampiran sempadan Mesir.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. - AFP
Warga Palestin melawat pameran lukisan yang diadakan dalam Hospital Al Quds, Bandar Gazar, yang musnah teruk akibat serangan Israel akhir bulan lepas. Foto dan lukisan dipamerkan tergantung serta menghiasi siling dan dinding yang rentung dan hangus. Serpihan tembikar merah daripada bumbung kaca yang berkecai dijadikan jalan. Untuk tempoh satu minggu ini, pengunjung dibenarkan melawat hasil kerja seni enam tingkat di bangunan yang musnah tersebut. - Foto AP
Subscribe to:
Posts (Atom)