Sepanjang kempen pilihan raya itu, persaingan antara bakal pemimpin Israel ialah siapa yang boleh berurusan lebih tegas (dibaca sebagai lebih ganas) ke atas rakyat Palestin. Dalam suasana selepas diserang, rakyat Palestin pula berharap Israel akan memilih seorang pemimpin yang akan memberi fokus untuk menamatkan penderitaan yang dialami selama ini, menarik balik semua sekatan dan membina semula negara mereka. Tetapi kelihatan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pilihan raya Israel terakhir pada 1996 menerima kesan serius akibat keganasan yang berlaku, apabila keputusan diperoleh membolehkan Netanyahu menang amat tipis, mengatasi pemangku Perdana Menteri, Shimon Peres.
Ketika bersaing menentang Peres yang jauh lebih tua (yang mengambil alih pentadbiran selepas pembunuhan Yitzhak Rabin), Netanyahu mewarnakan rambutnya putih untuk kelihatan lebih matang, sebelum mengambil peluang terhadap kelemahan Rabin menguruskan perang kecil ke atas Palestin serta kegagalannya mengawal kemarahan pengundi Arab Israel. Sekarang Peres ialah Presiden Israel, manakala Netanyahu mengetuai Likud. Tetapi tidak banyak yang berubah. Perang ke atas Palestin masih diurus dengan begitu buruk, rundingan damai masih belum menemui jalan penyelesaian, tindakan boikot pengundi Arab Israel pada pilihan raya 2009 ini seperti ulang tayang peristiwa 1996 - apabila pembunuhan Rabin menamatkan rundingan Palestin-Israel pada saat paling penting dan perang Peres ke atas Selatan Lubnan mengurangkan kelebihannya yang ketika itu hampir terikat kedudukan dengan Netanyahu. Kemarahan rakyat Israel keturunan Arab atas tindakan tentera Israel membunuh saudara mereka di seberang sempadan pada 1996, telah membawa kepada pemulauan yang menyebabkan Peres kehilangan beberapa ribu undi yang diperlukan untuk menang. Pilihan raya Israel 2009 ini mempunyai banyak persamaan dengan pilihan raya 1996. Ia berlaku selepas dua perang kontroversi (walaupun calon ketika ini tidak terbabit secara langsung dengan perang 2006 dengan kumpulan Hizbullah).
Ia juga menyusul beberapa rundingan antara Perdana Menteri Israel, Ehud Omlert dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang dipercayai berjaya membawa kedua-dua pihak lebih rapat antara satu sama lain. Tetapi perang dan keganasan yang berlaku menyebabkan pengundi berpaling kepada parti sayap kanan dengan operasi Israel di Gaza baru-baru ini tidak terkecuali. Ramai rakyat Israel keturunan Palestin marah dengan angka kematian dan kecederaan yang menimpa saudara mereka dan tidak mengundi Likud - kerana ia seolah-olah merestui sistem politik yang bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai. Kumpulan ini tidak keluar mengundi langsung. Elemen paling penting sekarang ialah pentadbiran baru di Amerika Syarikat. Kemenangan mutlak calon yang menentang Perang Iraq dan mempunyai niat untuk mengadakan rundingan secara langsung dengan Iran, tidak ragu-ragu lagi akan mempunyai pengaruh besar dalam hubungan AS-Israel dan proses damai. Pelantikan George Mitchell - yang menentang penempatan Israel di Tebing Barat dan keputusannya untuk membuka sebuah pejabat di Baitulmaqdis - dengan jelas mencerminkan apa yang perlu diharap kerajaan baru Israel daripada pentadbiran Barack Obama. Dunia Arab juga dalam suasana tidak keruan dan dibanjiri manusia, selepas siaran langsung selama 22 hari serangan Israel ke atas Gaza. Jutaan penduduk di Asia Barat membanjiri jalan raya, amat marah apabila tidak ada siapa boleh menghalang pertumpahan darah yang berlaku di Palestin. Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Pihak Berkuasa Palestin sendiri kembali menilai kedudukan yang berhaluan sederhana dan sentiasa bertolak ansur. Halangan utama dunia dalam usaha untuk melegakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza ialah mencari jalan terbaik untuk membantu Majlis Perundangan Palestin menyusun semula senarai reformasi dan perubahan yang dicetuskan Ismael Haniyeh. Cabaran ini menjadi lebih menarik dengan kesanggupan negara Eropah untuk berurusan dengan sebuah pentadbiran Palestin yang bersatu, termasuk kumpulan Hamas yang diketuai Ismael. Sikap pragmatik Obama dan keengganannya untuk meneruskan kempen 'memerangi keganasan' yang dicetus pentadbiran George W Bush, akan menjadi kunci utama menentukan hasil rundingan damai selepas ini. Walau apapun, di sebalik penyelesaian bantuan perubatan kepada mereka yang cedera dalam serangan Israel baru-baru ini, kebimbangan utama semua pihak sekarang ialah memastikan usaha Israel untuk membahagikan Gaza dari Tebing Barat, tidak menjadi kenyataan. Mesir dan Pihak Berkuasa Palestin sudah diberi gambaran buruk di mata dunia Arab, berikutan keengganan mereka untuk bertanggungjawab menjaga Gaza kepada Mesir dan kemungkinan Jordan untuk Tebing Barat. Cadangan ini sebenarnya adalah perangkap yang akan memusnahkan kemungkinan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka. Walau apapun keputusan pilihan raya, rakyat Palestin masih berharap untuk menggerakkan semula momentum beberapa perkara yang masih belum dapat persetujuan bersama dengan Israel. Tatkala konsensus antarabangsa hari ini semakin menyokong penyelesaian pembentukan dua negara untuk meleraikan status Baitulmaqdis dan pelarian Palestin, sudah pasti akan menjadi halangan utama yang akan dihadapi kedua-dua pihak. Satu-satunya harapan kembali ke meja rundingan sekarang adalah berasaskan pendapat lama 'hanya Nixon boleh membuka China'. Maknanya hanya pemimpin Israel yang benar-benar berhaluan kanan akan mempunyai cukup kewibawaan untuk berdamai dengan rakyat Palestin. Tetapi apa yang jelas bagi pakar sejarah ialah Nixon memang bersungguh-sungguh untuk membuka pintu China sejak dia mula mengambil alih tugas sebagai Presiden. Sayangnya, dalam kes Palestin-Israel ini, calon yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri Israel yang dilihat boleh mengambil langkah tegas untuk meleraikan krisis sejak sekian lama, masih belum kelihatan kelibat mereka.
No comments:
Post a Comment
ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda