01 March 2011
Pemberontak tunggu serangan
TRIPOLI 28 Feb. – Pemberontak Libya sedang menunggu serangan balas daripada pasukan keselamatan Muammar Gaddafi, selepas pemimpin negara ini enggan memenuhi kehendak penunjuk perasaan untuk mengundurkan diri.
Pemberontak yang merampas Zawiyah, kira-kira 50 kilometer (km) dari barat Tripoli berkata, kira-kira 2,000 askar yang setia kepada Gaddafi kini mengepung bandar itu.
‘‘Kami akan melakukan yang terbaik dalam mempertahankan bandar ini. Mereka akan serang tidak lama lagi. Jika kami bertempur kerana mahukan kebebasan, kami bersedia untuk mati,’’ kata bekas anggota polis berpangkat mejar yang menyertai pemberontakan.
Gaddafi kini menggempur pemberontakan yang merebak di seluruh Libya selepas demonstrasi besar-besaran menggulingkan pemimpin negara jiran, Tunisia dan Mesir.
Tindakan keras Gaddafi dalam menggempur pemberontakan menyebabkan kematian beratus-ratus orang di Libya.
Penduduk di beberapa bahagian di Tripoli juga telah membina sekatan terhadap pasukan keselamatan kerajaan.
Seorang jeneral di sebuah bandar di timur negara itu yang berjaya dirampas oleh tentera berkata kepada Reuters bahawa pasukannya kini bersedia membantu pemberontak di barat negara ini.
‘‘Saudara kami di Tripoli menyatakan mereka masih berada dalam keadaan baik, mereka tidak memerlukan pertolongan. Jika mereka memintanya, kami bersedia untuk bergerak,’’ kata Jeneral Ahmed el-Gatrani, pegawai kanan tentera di Benghazi.
Para penganalisis menjangka pasukan pemberontak akhirnya akan mengambil alih ibu negara dan membunuh atau menangkap Gaddafi.
Bagaimanapun, kata para penganalisis, Gaddafi mempunyai kekuatan untuk menimbulkan huru-hara atau perang saudara, prospek yang diberi amaran oleh pemimpin Libya itu dan anaknya. – REUTERS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda