03 September 2010

Berpuasa Pemangkin Daya Juang

Siti Shamsiah binti Md Supi Pegawai Penyelidik 13/08/2010 | Utusan Malaysia السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Walaupun pada umumnya manusia boleh memperjuangkan apa-apa sahaja untuk kepentingan dirinya kerana perjuangan itu bersifat relatif, namun pada penulis istilah perjuangan hanya mempunyai nilai dan harga apabila ia usaha untuk mencapai sesuatu yang positif dan dengan cara yang benar. Perjuangan untuk mengumpul harta kekayaan dengan tipu daya umpamanya hanya boleh dijelaskan sebagai mementingkan diri sendiri. Teras perjuangan ialah kebenaran kerana hak akan menjadikan seseorang terus meyakini apa-apa yang diperjuangkannya. Sudah semestinya Islam perlu dijadikan sebagai neraca untuk menentukan satu-satu perjuangan itu benar atau sesuatu yang hak. Rukun Islam yang ketiga, berpuasa dalam bulan Ramadan, sebenarnya boleh dijadikan sebagai medan latihan yang boleh memupuk semangat dan daya juang dalam diri. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT telah berfirman dan menyatakan bahawa setiap amalan anak Adam itu adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Puasa adalah satu-satunya amalan seorang hamba untuk Tuhannya dan akan dikurniakan balasan atas puasa tersebut. Beribadah atau melakukan sebarang tindakan bertitik tolak dari niat kerana niat adalah teras pada setiap amalan atau perbuatan. Setiap manusia boleh memilih untuk berpuasa ataupun tidak berpuasa. Seorang individu boleh berpura-pura di hadapan individu yang lain bahawa ia sedang berpuasa tetapi niatlah yang akan membezakan sama ada ibadah tersebut benar ataupun palsu. Penentuan terhadap niat tanda bermulanya latihan bagi seorang insan untuk memupuk semangat perjuangan dan perjuangan tersebut atas asas yang benar. Hamba yang berpuasa ialah hamba yang berjuang dan melawan godaan dari sebarang perkara yang boleh membatalkan puasanya. Perjuangan tersebut adalah semata-mata untuk membuktikan kepatuhannya sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Dan daya atau semangat perjuangan tersebut mempunyai peluang untuk dipertingkatkan kerana puasa itu sendiri mempunyai tahap-tahap tertentu. Perjuangan dalam berpuasa di peringkat permulaan adalah dengan hanya menahan perut dan kemaluan daripada melakukan perbuatan yang boleh membatalkan puasa, dan ia selaras dengan yang disebut dalam sebuah Hadis yang bermaksud, “Memang ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya itu kecuali lapar dan dahaga semata-mata (yakni, pahalanya lenyap sama sekali)”. Walaupun puasa ini hanya mampu mengelakkan seseorang daripada berdosa tanpa meraih sebarang pahala, tetapi malangnya masih ramai yang tidak mampu untuk berpuasa. Setiap tahun pasti akan berlaku kes-kes yang melibatkan kesalahan tidak menghormati bulan puasa di kalangan mereka yang dilihat mampu untuk berpuasa. Mereka tewas jika hendak dibandingkan dengan buruh-buruh kasar yang mempunyai semangat juang yang tinggi, tetap berpuasa walaupun bekerja di bawah terik matahari dan pada malamnya menyambung ibadah dengan bersolat tarawih. Berdasarkan kepada Hadis Rasulullah SAW, setiap individu Muslim mempunyai peluang untuk mempertingkatkan daya juang melalui puasa sebagai medan latihan dengan menjaga pahala puasa sebagaimana maksud Hadis berkenaan, “Lima perkara yang menghapuskan puasa, yakni dalam erti menghapuskan pahalanya ialah dusta, mengumpat, mengadu-domba, sumpah palsu dan melihat sesuatu dengan nafsu”. Selain daripada kelima-lima perkara tersebut ialah tindakan menahan pendengaran, perbuatan oleh kaki atau tangan dan anggota tubuh yang lain daripada segala bentuk dosa. Untuk menjaga semua perkara tersebut memang sesuatu yang amat sukar, tetapi kesukaran itulah yang dinamakan sebagai perjuangan. Di situlah individu Muslim dapat mengukur daya ketahanan dan semangat juangnya. Jika ia benar-benar ingin menjaga pahala puasanya, tentu ia akan membuat persediaan supaya matlamat perjuangannya akan tercapai. Maka, perjuangan bukan hanya memerlukan semangat tetapi juga kebijaksanaan, strategi dan kesabaran. Tingkat berpuasa yang jauh lebih baik adalah apabila hati seseorang turut berpuasa dengan menahan lintasan hati terhadap perkara-perkara yang remeh-temeh, bersifat duniawi dan apa-apa sahaja yang tidak mempunyai kaitan dengan Allah ‘azza wa jalla secara keseluruhannya. Bagi kebanyakan orang, kesabaran bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan apatah lagi bila ia menyentuh perkara-perkara yang besar dan sensitif. Dan lazimnya, manusia akan memujuk hatinya untuk bersabar dengan alasan-alasan yang rasional, balasan-balasan yang dijanjikan Allah SWT dan tentunya ia suatu proses yang memeritkan. Sebenarnya, sumber untuk memiliki kesabaran ialah doa yang dipohon ke hadrat Allah kerana itulah yang diajar kepada kita melalui firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 250, yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan teguhkanlah pendirian kami serta berikanlah kemenangan terhadap kaum kafir” dan Surah al-A’raf ayat 126, “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam”. Maka, puasa dalam bulan Ramadan adalah model juga medan latihan untuk mengasah atau memupuk semangat perjuangan. Ia perlu dimulakan dengan niat yang benar dan lillahi Ta’ala kerana ia akan menjadi asas dan sebab yang paling kukuh dalam perjuangan. Selain niat, ia perlu disertai oleh tindakan dan strategi yang bijaksana kerana kebijaksanaan akan dapat menjimatkan modal dan juga tenaga. Seterusnya, kesabaran wajib ada bagi mereka yang benar-benar ingin mencapai kejayaan dan memastikan perjuangan mereka tidak sia-sia. Dan hanya kepada Allah kesabaran itu dipinta bagi mereka yang meyakininya.

No comments:

Post a Comment

ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda