14 February 2011
Bangkok sertai mesyuarat tergempar ASEAN
BANGKOK 13 Feb. - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva hari ini berkata, Bangkok bersetuju untuk menyertai mesyuarat tergempar ASEAN bagi membincangkan pertikaian sempadan antara negara ini dengan Kemboja.
Abhisit dalam program mingguannya di televisyen mengesahkan satu mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN akan diadakan di Jakarta pada 26 Februari ini bagi membincangkan konflik sempadan Thai-Kemboja berhubung kuil Preah Vihear yang mencetuskan pertempuran di sempadan kedua-dua negara awal bulan ini.
Mesyuarat tergempar itu adalah atas inisiatif Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa sebagai sebahagian usaha diplomatik beliau untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap pertikaian sempadan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu.
Pertempuran tercetus antara askar Thai dan Kemboja yang berpangkalan dekat kuil purba Hindu itu pada 4 hingga 7 Februari lalu, menyebabkan tiga askar Thai dan lima askar Kemboja terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera.
Insiden itu ialah pertempuran terbaru yang meletus di sempadan Thai-Kemboja sejak Julai 2008, apabila Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengisytiharkan kuil tersebut sebagai tapak Warisan Dunia, tanpa menghiraukan bantahan Thai yang mendakwa kawasan seluas 4.6 kilometer persegi bersebelahan kuil itu sebagai wilayah kedaulatannya.
Thailand selama ini mahu konflik sempadan itu diselesaikan secara dua hala, tetapi Kemboja nampaknya mula mencapai kemajuan dalam usahanya untuk melibatkan campur tangan antarabangsa.
Menteri Luar Thailand, Kasit Piromnya dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hor Namhong akan bertemu di New York esok untuk menjelaskan pendirian masing-masing mengenai isu itu kepada Majlis Keselamatan PBB.
Indonesia selaku Pengerusi ASEAN sekarang akan menghantar Natalegawa untuk menyertai sidang di PBB itu dan kemudian beliau akan menganjurkan mesyuarat tergempar ASEAN mengenai konflik tersebut pada 26 Februari ini.
Kata Natalegawa, peranan beliau adalah untuk memudahkan penyelesaian dua hala dicapai antara Bangkok dengan Phnom Penh. - Agensi
Terimakasih maklumat: UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda