30 January 2012

Diaspora Melayu Menandai Komuniti Melayu ASEAN


Oleh;
Haji Muhamad Suhaimi Ismail Awae
Majlis Bahasa dan Satera,(MASRA)Thailand

Pendahuluan

Istilah Melayu dalam rencana ini perlu dijelaskan kerana tanah kediaman orang Melayu di Asia Tenggara sudah berpecah-belah akibat ditakluki kaum penjajah secara silih berganti. Penjajah yang dimaksudkan itu adalah Portugis, Sepanyol, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Perancis dari barat dan yang dari Asia Tenggara dan Asia pula ialah Thailand dan mungkin juga Viet (yang membentuk negara barunya Vietnam). Memang dipersetujui orang Melayu adalah sekurang-kurangnya bangsa pribumi yang mendiami merata tempat di Tenggara Asia ini yang dirujuk hampir semua penulis sebagai Gugusan Kepulauan Melayu.
Perincian pertama tentang geografi dan aspek kebiopelbagaian Kepulauan Melayu telah dilakukan Wallace (1863) dan dengan lebih komprehensif lagi dalam bukunya The Malay Archipelago. Buku itu telah diulang cetak dengan terbitan yang terbaru dibuat Oxford University Press (1986). Berasaskan tabii kebiopelbagaian, beliau mentakrifkan Gugusan Kepulauan Melayu sebagai “Rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga, bermula di Pulau Nikobar di Timur Laut ke Pulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti dekat pulau Timor di Selatan”. Kawasan yang luas itu dibahaginya kepada lima kumpulan:
Kepulauan Indo-Malaya,
Kepulauan Timor,
Kepulauan Maluku dan
Kepulauan Papua.
Orang Barat sejak abad ke-18 sentiasa merujuk kawasan ini sebagai Gugusan Kepulauan India atau Hindia Timur (nama syarikat yang berpusat di India). Kedua-dua nama itu tidak disukai Wallace yang berpendapat ia lebih baik dinamakan sebagai Gugusan Kepulauan Indo-Australia. Ternyata nama Gugusan Kepulauan Melayulah lebih sesuai dan dapat diterima umum sebagaimana yang terpancar daripada nama makalah dan buku Wallace sendiri, kerana ia berasaskan rupa bangsa di rantau ini yang dikelaskan sebagai orang Melayu oleh orang Barat sendiri, sekurang-kurangnya sejak Marco Polo menceritakan pelayarannya melalui rantau ini pada abad ke-13.
Diaspora Melayu
Fenomena ini mula berlaku pada zaman Sriwijaya antara abad ke-7 hingga abad ke-13 secara kecil-kecilan dan mungkin berkeluarga. Rumpun Melayu itu berhijrah dengan belayar ke Pulau Madagaskar di pantai timur benua Afrika. Mereka dikatakan penyumbang kepada tamadun awal di pantai timur benua Afrika dengan memperkenalkan kegiatan bercucuk tanam dan memelihara ternakan.
Penonjolan Rumpun Melayu sebagai minoriti terdapat di Pulau Hainan dan wilayah Kwantung di Selatan Negeri Cina. Mereka dipercayai adalah daripada keturunan Champa yang mendiami pesisiran pantai Semenanjung Indo-China. Sekumpulan yang agak besar keturunan Melayu Champa dari Vietnam itu, disebabkan oleh peperangan, mereka berhijrah dan menjadi penduduk tetap di negara Cambodia, dianggarkan hampir sejuta orang. Di Vietnam mereka adalah penduduk peribumi yang pernah menubuhkan kerajaan Melayu Champa yang bertahan agak lama dari abad ke-2 hingga ke pertengahan abad ke-15 Masihi. Kerajaan Champa itu tumbang setelah sekian lama berperang dengan bangsa Daiviets dari utara yang kini menjadikan wilayah itu sebagai Vietnam.
Di Segenting Kra, terdapat sekitar 100,000 pribumi Melayu tetapi perkampungan mereka termasuk ke dalam sempadan Selatan Myanmar.
Sebahagian besar Melayu diaspora, iaitu mereka yang berhijrah dan menjadi kelompok minoriti di negara-negara di luar Alam Melayu, melakukan penghijrahan pada zaman penjajahan di wilayah budaya Alam Melayu ini. Ini termasuklah kewujudan Melayu diaspora di Australia, Britain, Sri Lanka, Afrika Selatan, Surinam, Arab Saudi dan beberapa lagi. Tetapi penghijrahan juga berlaku pada zaman selepas penjajahan seperti kehadiran rumpun Melayu keturunan Champa di Amerika Syarikat dan Perancis serta rumpun Melayu dari wilayah Patani (Selatan Siam) dan Malaysia di Arab Saudi dan Mesir, serta rumpun Melayu Sri Lanka di Canada.
Alam Melayu yang berasaskan bahasa adalah lebih luas lagi kerana merangkumi ASEAN, Madagaskar, Taiwan, malah New Zealand dan pepulau Easter
Perubahan sejarah, geografi, politik negara-bangsa selepas penjajahan turut berubah juga minda orang Melayu. Sejak dijajah, minda orang Melayu beransur-ansur berubah sehingga konsep bangsa Melayu itu sendiri pun turut berubah, terutamanya akibat kebangkitan negara-negara baru di Gugusan Kepulauan Melayu, hasil pembebasan daripada penjajahan yang berlainan masa seperti Malaya, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam, Madagaskar, Taiwan dan lain-lain.

Nasib anak Bangsa Melayu di luar Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mungkin terpinggir jika tidak dengan kerja keras sebuaha badan yang sangat berjasa kepada Bangsa Melayu yang di tonjolkan dengan nama GAPENA itu. Oleh kerana seolah – olah dinafikan sebagai Melayu bagi orang Melayu yang berada di luar Persekutuan Tanah Melayu, Mengikut perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Melayu ditakrifkan sebagai orang di Persekutuan Tanah Melayu yang mengamalkan kebudayaan Melayu dan beragama Islam. Takrif ini bukan sahaja kabur, tetapi juga menyempitkan makna Melayu yang asalnya bukan sahaja merujuk kepada orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu, tetapi juga orang Melayu serumpun di luar Persekutuan Tanah Melayu. Orang yang serumpun dengan orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu dan berada di Persekutuan Tanah Melayu, tetapi bukan Islam dengan serta-merta menjadi orang bukan Melayu

Hubungan persemendaan dan kekeluargaan antara Patani dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung telah berlaku sebelum dan sesudah Islam. Dalam hal ini banyak sumber Portugis menceritakan bahawa sewaktu kerajaan Siam berada di bawah pemerintahan Borom Raj I.(1370 -
88), baginda memperoleh seorang putri daripada perkahwinannya dengan anak pembesar Patani. Kemudian putranya telah dikahwinkan dengan Tamagi yang dilantik menjadi syahbandar di Singapura yang pada waktu itu di bawah pemerintahan Paduka Seri Maharaja (1376 – 89).

Menurut sumber Sejarah Melayu, setelah memluk agama Islam, Parameswara kemudian dikenali dengan nama Raja Iskandar Syah; anakandanya Raja Ahmad telah dijodohkan dengan seorang puteri Patani dari Kota Mahligai:

Shadan, telah berapa lamanya Paduka Seri Maharaja di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda Raja Iskandar Syah naik raja menggantikan kerajaan ayahanda baginda, beristerikan anak Tun Perpatih Tulus. Baginda beranak seorang lelaki bernama Raja Ahmad, timang-timangan Raja besar muda, terlalu baik rupanya dan sikapnya, tiada berbagai pada zaman itu. Setelah sudah besar maka didudukan baginda dengan anak Raja Sulaiman raja Kota Mahligai,bernma Puteri Kamarul Ajaib, terlalu baik parasnya tidak berbagai pada zaman itu.

Dalam konteks Alam Melayu, rantau Asia mempunyai sejarah universalisasi dan globalisasi yang istimewa tentang dominasi kepahlawanan dan keintelektualan pre-excellent umat dan wira Melayu sebelum kedatangan penjajah.
Sesungguhnya potensi besar Alam Melayu dengan segala kekuatan yang ada sudah cukup dan mampu untuk bangkit menjadi bangsa berjiwa besar dengan jumlah penduduk umat Melayu di Asia Tenggara yang melebihi dari 300 juta, ianya cukup berpotensi walau di sudut mana sahaja. seperti yang pernah diungkapkan oleh Prawoto Mangkuasasmito, tokoh penting Masyumi; “…jika dipasang di belakang roda pembangunan bangsa dan negara akan mendorongnya sampai ke puncak-puncak pencapaian yang hingga kini belum sampai kita mimpi-mimpikan”.

Malah,Tansri Prof. Emeritus Dato’ Pendeta Dr.Haji Ismail Hussein ketua satu GAPENA dengan gagasan beliau untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai kesatuan Bahasa Melayu sedunia dan bukan hanya peringkat ASEAN. Katanya;

“….pada kita sekarang memang sedia ada satu eset yang tidak dipunyai oleh negara lain, iaitu kemampuan kita untuk membuka diri dan melihat keluar daripada diri sendiri, untuk melihat bahasa dan kebudayaan Melayu dari sudutnya yang global. Pada awal syarahan ini, ada saya sebutkan peranan Malaysia dalam kebangkitan Melayu global, atau sekurang-kurangnya akan usaha kita untuk membina kesedaran Melayu Global. Dari segi bahasa Melayu, agak selalu juga tokoh-tokoh politik dan budaya kita mengusulkan kesatuan bahasa Melayu sedunia, dan dengan ikhlas pula kita menawarkan bantuan kepada pelbagai pihak dalam mempelajari atau meningkatkan mutu bahasa Melayu,terutama kelompok-kelompok minoriti Melayu di Sri Lanka dan Afrika Selatan.Kadang-kadang dengan cukup konkrit pula kita menyokong pembinaan pusat-pusat kajian Melayu,termasuk bahasa Melayu, di beberapa negara.Terungkapnya gagasan Sekretariat Melayu Antarabangsa di Kuala Lumpur melambangkan keghairahan kita dari segi itu. Melalui sikap dan usaha kita itu, Malaysia memang telah menjadi tempat perhatian bagi kelompok-kelompok rumpun Melayu di luar Indonesia, malah bagi beberapa bahagian Negara Indonesia sendiri. Kejayaan kita dari segi ini adalah lantaran sikap kita yang kulturil, bukannya politik dan negara kita itu kebetulan kecil pula, jadi tidak mengancam sesiapa. Kita sebenarnya cukup mampu menjadi duta Melayu global yang seperti itu; dengan itu patutlah kita eksploitasikan aset ini bagi keagungan bahasa Melayu sendiri.”

Wialayah Selatan Thailand, turut digamit bersama menyertai
Dialog Utara VII pada 25-28 November 1997 di Ipoh,Perak.Setelah Perak diterima sebagai anggota penuh dialog itu.Pertemuan berikutnya Selatan Thailand mendapat penghormatan untuk melangsungkan dialog di tiga wilayah selatan Thailand, (Naratiwat-Yala-Pattani).dialog ini diadakan pada 1-4 Desember 1999 dengan tema “Membina Jambatan Budaya Antara Thailand dengan Negara-Negara di Selatan” di Naratiwat-Yala-Pattani.
Seterusnya dengan cukup bersemangat, pada Dialog Utara X sekali lagi Selatan Thailand diberi penghormatan apabila dapat peluang menganjurkan bersama dialog utara itu di Yala. Bertemakan “Yala: Dataran Sankala Giri” Anjuran bersama Yayasan Kebudayaan Islam Selatan (YAKIS),GAPENA,2PNP,ASASI,3P&LEPAS. Pada 20-21 September 2003. Sekalipun secara kecil-kecilan namun ia cukup bermakna dan dapat menyalakan semangat budaya kepada keluarga Melayu di wilayah-wilayah selatan Thailand.
Perlu disebut juga bahawa suatu majlis seminar diadakan juga oleh GAPENA di ibu kota Bangkok. ‘Pertemuan Kerja Sama Melayu-Islam ASEAN’ atas naungan YB. Menteri Pengangkutan dan Komunikasi di Hotel Chaleena,Bangkok.Pada 29 Mac -1 April 2002.Perbincangan disasarkan kepada masalah sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu di Lembah Chao Phraya merangkumi kawasan ibu kota kuno Ayuthya dan perkampungan Melayu Pattani di wilayah Patum Thani, Thailand.Pertemuan dihadiri 300 orang peserta dari Thailand,Malaysia,Indonesia dan Singapura menyertai acara ini.

Pemerkasaan Komuniti Melayu ASEAN

Realiti negara ASEAN,yang lokasinya sebagai kawasan bermastautin penduduk Bangsa Melayu itu, membentuk identitinya yang tersendiri berbanding dengan kesatuan – kesatauan yang terdapat di rantau lain.

Keadaan ini berlaku kerana kewujudan negara-negara Melayu seperti Malaysia,Indonesia dan Brunei yang mewakili dunia Melayu, memiliki jumlah penduduk terbesar bagi rantau ASEAN malahan ia menjadi ‘Komuniti Muslim’ Terbesar dunia. Justeru orang Melayu, baik yang bersifat refomis mahupun tradisionalis, samada dalam aspek ekonomi, politik, sosial, budaya seni,bahasa,dan lain-lain. Masyarakat dunia mengenali sebagai Komuniti Muslim.
Dalam paradigm sosial politik Islam, ada dua kata kunci yang sangat identik dengan kata Komuniti Muslim itu; ‘Ummah’ dan ‘Madinah’ kedua-dua kata kunci ini sama-sama memiliki eksestensi sosial yang dapat dijadikan konsep dasar dan nilai instrumental bagi terbentuknya masyarakat Islam yang beradab.
Dalam perspektif sejarah, ‘ummah’ yang dibangunkan oleh Baginda Rasulullah (saw.) supaya menguatkan solidariti kalangan pemeluk agama Islam.Khususnya bagi kaum Muhajirin konsep ummah merupakan sistem sosial alternative sebagai pengganti sistem sosial tradisional,sistem kabilah puak dan suku kaum masing-masing yang terurai selepas mereka memeluk Islam. Konsep ummah bersifat lintas kesukuan dan kekerabatan atau neopotisme.Kata ummah disebut oleh Allah didalam Al-Quran pada 38 surah,sebanyak 88 ayat dengan jumlah sebanyak 131kali,ianya dirujuk kepada masyarakat madani yang ditegaskan atas dasar solidariti keagamaan dan merupakan manifestasi moral dan nilai-nilai Islam.
Eksistensi umat Islam tidak bersifat ekslusif, kerana Islam merupakan agama universal,pembawa gagasan Rahmatan lilalamin , dengan yang demikian nilai-nilai Islam harus dimasyarakatkan bagi kebaikan umat manusia. Prinsip kerahmatan dan kesemestaan ini menuntut supaya adanya upaya universalisasi nilai-nilai Islam untuk menjadi nilai global.

Dalam konstelasi sejarah Islam, konsep “madinah” pernah mendapat elaborasi yang mendalam dari Al-Farabi (w.950) yang menampilkan teori tentang masyarakat utama ‘al-Madinah al-Fadhilah’ .Al-Farabi menggambarkan masyarakat utama tersebut sebagai masyarakat yang terdiri dari perkumpulan manusia yang bertujuan untuk menegakkan persatuan dan kesatuan sehingga kebahagiaan hakiki dapat terwujud. Dalam kaitan ini al-Farabi menekankan pentingnya kolektiviti social dan etika kolektif dalam mewujudkan nilai akhlak yang tertinggi, dan ini adalah tujuan agama. Gerakan social merupakan factor instrumental untuk reformasi dan perubahan social perlu mengembangkan stika social yang berorientasi pada kebahagiaan universal.

Satu hal yang perlu dikembangkan dalam pembangunan komuniti ASEAN menjelang tahun 2015 sebagai sumbangan Ilmuan dan budayawan Muslim untuk mendukung gagasan ini adalah konsep Madinah dalam perspektif khuluk ul-karim yang bukan hanya komuniti yang membawa makna ‘masyarakat utama’ sahaja malah ia perlu diselenggarakan bersama nilai –nilai keagamaan, kerana agama dan pembangunan ada hubungannya demi kejahteraan.

Penutup

Tidak ada budaya fikir yang tidak mengalami perubahan sama ada akibat daripada proses dalaman atau dampak pengaruh dari luar. Budaya fikir dan Weltanschauung Melayu tidak terkecuali daripada proses dan dampak, terutamanya yang dicetuskan oleh, idea-idea baru dan innovasi teknologi terkini.

Para pengkaji budaya Melayu menyepakati bahawa Weltanschauung Melayu tradisonal ditegakkan atas gagasan pemikiran animisme, hindi dan Islam. Menurut mereka hakikat ini adalah benar walaupun pada suatu zaman dan masa tertentu terdapat ada unsur daripada gagasan tersebut yang lebih menyerlah atau tenggelam berbanding dengan yang lain. Pada zaman mutakhir ini, unsur Islam dianggap sebagai unsur dominan didalam metamorfosis atau "mutasi" yang membentuk pemikiran Melayu tradisonal. Namun apa yang lebih penting ialah kesemua unsur pemikiran tersebut bergabung dalam melahirkan satu kompleks kerangka fikir dan pandangan alam Melayu yang jelas memberatkan penekanan kepada kosmologi metafizik. Kosmologi ini mengabadikan budaya pemikiran yang megutamakan tafsiran simbolisme dan sintesis holistik. Sistem kosmologi dan pandangan alam Melayu, pada asasnya, menekankan interaksi dinamis antara alam metafizik dengan alam material. Interaksi ini dapat difahami melalui sistem simbolisme yang komplek yang dipelihara dan dipupuk oleh kerangka budaya dalam semiotik tradisional Melayu.
Kebudayaan dan ciri-ciri jati diri penduduk asal di Alam Melayu ini sebagai kerangka rujukan kebudayaan Alam Melayu yang dilahirkan daripada wilayah-wilayah yang berbeza seperti Melaka (Malaysia), Singapura, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Kepulauan Ternate, Patani (Selatan Thailand), Kemboja, Vietnam, dan sebagainya. Ciri-ciri utama yang digunakan apabila menganggap diri mereka sebagai orang Melayu atau sebahagian daripada rumpun Melayu ialah Bahasa Melayu dan agama Islam.
Lantaran itu dapat disimpulkan bahawa jati diri Melayu dapat dikenal pasti melalui Bahasa dan Agama itu sendiri, namun jika hilang mana-mana satu samada Bahasa atau Agama sudah tentu ia akan mengakibatkan hilangnya jati diri Melayu Muslim Itu semua sekali.Justeru demikian kita perlu menyokong gagasan GAPENA ,mengeratkan hubungan melayu serumpun supaya lebih akrab dan sefahaman.Wallahu aalamu bissawab.

Bibliografi

Husni Thamrin.Problematika Masyarakat Melayu di Asia Tenggara. Dalam,
Alam Melayu Sejumlah Gagasan Menjemput Keagungan.Unri Press
Pekan Baru.Riau.2003
Ismail Hussein.Syarahan Raja Ali Haji.1995 dalam Abdul Latif Abubakar. Ismail Hussein bersama GAPENA Biografi & Koleksi.Jasos.Kuala Lumpur.2002
Shaharir Mohamad Zain. Penyebaran Orang Rumpun Melayu Pra-Islam dan
Perkembangan Tulisan Bahasa Melayu. Sari 21. 2003
Shellabear,W.G. Sejarah Melayu.Kuala Lumpur: Oxford University
Press. 1967.
Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus.Idealisme Globalisasi Di Alam Melayu:
Asimilasi Dalam Kontradiksi. Dalam Pemikiran Melayu Tradisi dan
Kesinambungan.Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala Lumpur.2004
Wan Hashim Wan Teh. Rumpun Melayu Minoriti dan Diaspora. Terbitan
Khas RUMPUN, ATMA UKM. 2009

No comments:

Post a Comment

ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda