26 January 2010

Mesir pertahankan tembok

KAHERAH 25 Jan. - Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam mempertahankan tindakan kerajaannya membina tembok keluli bawah tanah di sempadan dengan Genting Gaza. Beliau memberi alasan pembinaan tembok tersebut adalah untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan negara ini. "Kerja pembinaan dan pengukuhan di sempadan timur kita melibatkan kedaulatan Mesir. Kita menolak untuk mengadakan sebarang perbahasan mengenai isu ini dengan sesiapa pun," kata Mubarak dalam ucapan sempena sambutan Hari Polis. Pemimpin Hamas yang hidup dalam buangan, Khaled Meshaal baru-baru ini menggesa Mesir menghentikan pembinaan tembok berkenaan. Hamas ialah pergerakan pejuang Palestin yang memerintah Gaza sejak Jun 2007. "Perkara yang kita tidak boleh dan tidak akan terima ialah kita memandang ringan keselamatan sempadan kita, atau wilayah kita dicerobohi atau bila askar atau kedudukan kita diserang. "Kita meneruskan kerja pembinaan dan pengukuhan di sempadan kita bukan untuk memuaskan hati sesiapa tetapi untuk melindungi keselamatan negara kita daripada pencabulan dan serangan pengganas seperti yang berlaku di Taba, Sharm el-Sheikh, Dahab dan Kaherah," kata Mubarak. Sejumlah 130 orang maut dalam beberapa serangan bom di pusat-pusat peranginan Laut Merah di Semenanjung Sinai dari 2004 hingga 2006, dan seorang remaja Perancis terbunuh dalam satu letupan bom di sebuah bazar di Kaherah pada 2009. Pihak berkuasa mula membina tembok keluli tersebut dalam usaha untuk menyekat kegiatan penyeludupan senjata dan barang keperluan ke Genting Gaza menerusi rangkaian terowong bawah tanah. Namun pegawai enggan mendedahkan butir lanjut mengenai kerja pembinaan itu. Israel mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Genting Gaza kecuali bagi bekalan keperluan asas yang sangat terhad sejak Hamas mengambil alih kuasa di wilayah Palestin itu pada 2007. Pada 6 Januari lalu, seorang anggota polis Mesir terbunuh dan lima orang lain cedera semasa pertempuran di sempadan Mesir-Gaza selepas penunjuk perasaan Palestin memprotes pembinaan tembok tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment

ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda