05 October 2010

Sastera Islam berasaskan teori Takmilah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON VAKUM akal dan pemikiran sesetengah individu yang berpandangan sempit terhadap agama Islam turut memberi kesan terhadap karya sastera. Sastera adalah medium paling halus yang boleh membawa arus pemikiran dalam masyarakat. Lalu, apabila kesedaran Islam meningkat dan memberi impak kepada perkembangan sastera Malaysia, ia dilihat sebagai fenomena positif. Selaras dengan itu, sastera Islam mula dikaji di Malaysia. Shafie Abu Bakar mengutarakan satu konsep iaitu Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid. Kemudian, beliau menggunakan istilah takmilah dalam Nadwah Sastera Islam Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 1993. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Takmilah: Teori Sastera Islam. Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Samsina Abd. Rahman, teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam. Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil. Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains, perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama. “Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori takmilah, menurut Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu komponen falsafah dan teknik berkarya,” jelas Samsina yang mengkhusus dalam Kesusasteraan Melayu khusus dalam Puisi Islam, Teori Sastera Islam (Takmilah) dan Kesusasteraan Melayu Mistik (tasawuf). Beliau berpendapat, perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi Maja. “Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda. “Bagaimanapun, penglibatan penulis wanita dengan karya berunsur Islam tidak begitu ketara kerana kita juga kekurangan penulis wanita,” ujar beliau yang turut aktif melahirkan puisi-puisi berunsur Islam. Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan. Perkembangan sastera Islam negara dipercayai bermula pada 1930-an. Ia semakin ketara pada 1970-an kerana ketika itulah berlakunya kebangkitan Islam. Melalui kerjasama antara DBP dan persatuan penulis setiap negeri, karya sastera berunsur Islam semakin bercambah dengan kemunculan penulis-penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama. sumber: utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda