02 May 2011

Anak bongsu Gaddafi, 3 cucu maut diserang

SISA peluru berpandu yang didakwa kerajaan Libya ditujukan ke kediaman anak pemimpin Libya menyebabkan anak lelaki bongsu, Gaddafi dan tiga cucunya terbunuh di Tripoli, semalam. - Foto REUTERS Nato nafi pemimpin Libya jadi sasaran TRIPOLI: Serangan udara Nato membunuh anak bongsu pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan tiga cucunya tetapi orang kuat Libya itu terselamat tanpa cedera, kata jurucakap kerajaan Libya selepas pihak pemberontak dan Nato menolak sebarang rundingan bagi mengakhiri krisis itu. Kediaman Seif al-Arab Gaddafi, 29, diserang dengan bedilan kuat, jurucakap kerajaan Moussa Ibrahim memberitahu media sambil mengumumkan kematian anak serta cucu orang kuat Libya itu. Pemimpin Libya dan isterinya berada di dalam rumah terbabit tetapi mereka tidak cedera, kata Ibrahim yang menyifatkan serangan itu sebagai operasi secara langsung untuk membunuh pemimpin negara itu. “Pemimpin kami berada dalam keadaan selamat dan kesihatan yang baik, beliau tidak cedera, isterinya juga selamat dan sihat serta tidak cedera tetapi orang lain cedera,” tambahnya. Ibrahim berkata maklumat mengenai kedudukan Gaddafi dibocorkan. “Mereka tahu beliau berada di rumah itu,” katanya. Gaddafi turut kehilangan anak perempuan angkat ketika serangan udara Amerika Syarikat pada 1986. Nato berkata pihaknya melancarkan serangan udara ke atas Tripoli secara berperingkat dan tidak mengesahkan dakwaan Libya. Tiada pengesahan segera mengenai kematian itu. Sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu kedengaran meletup sebaik jet berada di udara. Kenyataan daripada pihak bersekutu menyebut pihaknya terus melancarkan serangan terhadap rejim ketenteraan Gaddafi sepanjang malam termasuk serangan ke atas kawasan kejiranan serta bangunan di Bab al-Azizya selepas jam 6 petang kelmarin. Tembakan senjata automatik bergema di saat berkabung itu di seluruh negara selepas pengumuman kematian Seif al-Arab di stesen televisyen. Pemberontak turut meraikan pembunuhan itu dengan melepaskan tembakan. “Mereka sungguh gembira dengan kematian anak lelaki Gaddafi, justeru mereka meraikan dengan tembakan ke udara,” kata jurucakap tentera pembangkang Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC) yang berpangkalan di timur bandar Benghazi, Kolonel Ahmed Omar Bani. Bunyi hon bertalu-talu dibunyikan kenderaan yang berada di sepanjang jalan tepi laut sambil orang ramai menjerit Allahuakhbar. Ibrahim sebelum itu turut membawa wartawan ke kawasan runtuhan rumah di Tripoli, tanpa memberitahu yang seorang daripada anak Gaddafi turut terbunuh. Batang besi panjang bengkok kelihatan terkeluar daripada potongan besar konkrit di dalam dan sekitar struktur. Di beberapa kawasan, bumbung dan dinding runtuh sepenuhnya. Satu lapisan tebal debu gelap menutupi tanah. Melihatkan kemusnahan itu, agak mustahil seseorang itu yang berada di situ akan terselamat. – AFP

No comments:

Post a Comment

ความเห็นของคุณ
Pendapat Anda